KULAI: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak melihat penerimaan positif dan sambutan meriah diterima pemimpin tertentu di negeri ini kerana pemimpin itu disukai ramai.
Sebaliknya, kata beliau, pemimpin itu sepatutnya berasa malu apabila disabitkan dengan kes mahkamah tetapi tetap beramah mesra menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.
“Biasalah yang datang itu ada yang suka datang dan yang tak suka pun datang. Nak tengok dekat-dekat betul ke dia ini perompak, betul ke dia ini (dijatuhkan) hukuman.
“Jadi, jangan kita andaikan (sambutan) ramai itu kerana suka. (Tetapi) kerana datang nak tengok muka sebenarnya adakah ini yang dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun, denda RM200 juta dan pelbagai kes SRC, orang ini juga yang berulang-alik naik mahkamah.
“Bagi saya ini satu perkara yang amat memalukan. Jadi, kalau ramai keluar itu (datang di programnya), dia rasa seronok. Tetapi patut dia ada rasa malu, itu tak payah saya sebut lagi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ikrar Aku Janji Integriti calon PN di Hotel Impiana, di sini hari ini.
Beliau mengulas penerimaan sambutan meriah pemimpin tertentu yang membuat lawatan di negeri ini semasa kempen PRN Johor ketika ini.
Terdahulu, Muhyiddin berkata, ikrar yang dilaksanakan semua 56 calon PN itu menjadi bukti kesungguhan PN dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan. Sekali gus dapat membentuk sebuah kerajaan berintegrti.
Beliau juga mengharapkan supaya rakyat Johor lebih bijaksana dan menilai serta sewajarnya menyokong PN yang mendukung nilai-nilai integriti dan islamik seperti itu.
“Kita buat bukan kerana sambil lewa, tetapi nak peringatkan kepada rakyat Johor apa yang berlaku membuktikan pemimpin utama negara seperti terdahulu (iaitu) Perdana Menteri (dulu) terlibat dalam kes skandal yang besar.
“Jadi ini satu peringatan dan penting bagi Johor menjadi satu permulaan yang baik,” ujarnya. – UTUSAN