REMBAU: Bangkai seekor penyu agar seberat dua kilogram ditemukan nelayan di Pantai Telok Kemang, Port Dickson pada 22 Mac lalu.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, bangkai penyu betina yang masih kecil itu ditemukan nelayan di tengah laut dan diserahkan kepada pihak Pusat Ikan Hiasan Port Dickson bagi siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan terhadap bahagian luar badan penyu berkenaan tidak terdapat kesan cedera baik akibat peralatan mahupun dibunuh.
“Oleh itu, kami berkongsikan maklumat kepada Pusat Penyu Terin, Terengganu bagi mengenal pasti punca kematian penyu agar berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelepasan Benih Ikan Serentak Seluruh Negara dan Demonstrasi Produk Perikanan di Pengkalan Nelayan Sungai Timun, di sini hari ini.
Sementara itu, Kasim berkata, pihaknya melalui Pusat Ikan Hiasan Port Dickson menjalankan banyak program bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyu sebagai haiwan yang perlu dilindungi.
Menurutnya, sekiranya orang ramai terutama nelayan menemukan penyu sama ada dalam keadaan cedera mahupun mati, ia perlu diserahkan kepada Jabatan Perikanan.
“Jika nelayan tertangkap penyu di lautan, mereka diwajibkan untuk melepaskan kembali penyu berkenaan. Bagaimanapun, sekiranya penyu tercedera, serahkan kepada pihak kami untuk dirawat.
“Sekiranya penyu mati, maklumat berkenaan, jenis, panjang, umur akan diambil untuk tujuan rekod serta kajian,” katanya sambil menasihatkan nelayan untuk tidak menggunakan pukat yang mempunyai tiga lapis bagi mengelakkan risiko penyu di lautan tercedera. – UTUSAN