Muhyiddin nafi Tosrin calon MB - Utusan Malaysia

Muhyiddin nafi Tosrin calon MB

TOSRIN JARVANTHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan calon PN DUN Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi bakal dinamakan sebagai Menteri Besar seperti yang tular dalam sebuah poster, semalam.

Tegas Muhyiddin, sehingga ke hari ini gabungan berkenaan belum mengumumkan calon Menteri Besar sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan di Johor.

“Tidak betul, palsu. Saya ada beritahu bahawa kami tidak ada umum sesiapa, ini taktik orang jahat, dengan niat untuk fitnah. Malah saya pun difitnah pernah nak sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jadi calon Perdana Menteri.

“Apa cerita itu? Kita terpaksa nafikan. Dalam tempoh zaman mutakhir seperti ini merasakan tertekan sampai dia sanggup buat cerita bohong dan fitnah untuk mempengaruhi pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Komuniti Agro Makanan di Kompleks Sukan Pagoh, di sini hari ini.

MUHYIDDIN Yassin menyerahkan bantuan jala kepada Persatuan Nelayan Kawasan Muar sempena program MAFI bersama Pengerusi MPN, Komuniti Agro Makanan di Kompleks Sukan Pagoh, Muar. – UTUSAN/ NUR ALINA HASSAN

Tambah beliau, pengundi di Johor sudah lali dengan fitnah yang disebarkan pihak tertentu bagi tujuan menjatuhkan komponen parti PN.

“Saya fikir pengundi Johor tidak akan termakan dengan taktik busuk hati yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu. Saya fikir kita kena berjaga-jaga dengan orang yang berniat jahat seperti ini supaya kita jangan terpengaruh,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kriteria calon Menteri Besar, Muhyiddin berkata, individu daripada PN sememangnya ramai yang berkelayakan, namun perkara itu perlu diperhalusi dengan lebih baik bagi memastikan pemimpin Johor kelak adalah seorang berkaliber.

“Tidak mengapa, akan diumumkan apabila sudah selesai dan menang. Kita ada ramai calon yang layak berdasarkan latar belakang dan kelayakan mereka. Sampai masa sesuai sekiranya kita dapat bilangan kerusi yang lebih ia tidak jadi masalah dan kita akan umumkan setelah dapat perkenan Sultan Johor,” katanya.

Semalam, tular sekali lagi poster memaparkan calon Menteri Besar Johor dari tiga komponen parti iaitu Tosrin (PN); calon Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad (Barisan Nasional) dan calon Layang-Layang, Dr. Maszlee Malik (PKR). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN