PUTRAJAYA: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) diberi mandat menerajui Association of Quality Assuarance Agencies of the Islamic World (IQA) selama dua tahun bermula tahun ini.
Persatuan antarabangsa itu melantik Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari sebagai presidennya yang baharu selepas undian dijalankan dalam Mesyuarat Agong Tahunan IQA yang dijalankan secara dalam talian, semalam.
Khairul Salleh berkata, pelantikan itu adalah satu penghormatan kepada Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan juga MQA terutama dalam arena jaminan kualiti pengajian tinggi di peringkat antarabangsa.
Katanya, ia juga menunjukkan kepercayaan badan jaminan kualiti dalam kalangan negara Islam terhadap inisiatif dilaksanakan MQA termasuk akreditasi, APEL dan `microcredentials’ yang menjadi rujukan di negara ahli IQA.
“Pelantikan ini juga memberi kelebihan buat Malaysia untuk menarik minat pelajar dari negara ahli IQA untuk menyambung pengajian di IPT tempatan selaras dengan hasrat KPT untuk menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan global,” katanya selepas mesyuarat terbabit.
Yang hadir sama Prof. Youhansen Y Eid (Mesir), Mustafa EFE (Turki), Dr Saleh Ali Al-Ghamdi (Arab Saudi), Prof Ir Mansur Ma’shum (Indonesia).
Hingga kini, IQA mempunyai 21 keahlian penuh dan 64 ahli bersekutu dari Syria, Palestin, Pakistan, Oman, Kazakhstan, Jordan, Iraq, Iran, Gambia, Brunei, Bangladesh, Uganda, Sudan, Algeria, Mesir, Arab Saudi, Turki, Indonesia dan Malaysia. – UTUSAN