GEORGETOWN: Penang Black Panthers kini dalam misi memburu tiket beraksi di Liga Juara-Juara yang akan berlangsung di Johor sekali gus nekad membenam pasukan berpengalaman pada minggu akhir, kejohanan Liga Premier Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 di Ipoh, Perak esok.
Skuad Harimau Kumbang yang kini berada pada kedudukan keempat carta STL akan berdepan pasukan Negeri Sembilan Antlers malam esok dan Bomba Fighter, Sabtu.
Pasukan kendalian Jurulatih, Mohamad Fazil Mohd. Asri dan Ahmad Sufian Napiah itu perlu memperoleh kemenangan ke atas dua perlawanan menentang Naib Juara dan Juara Divisyen 1 musim lalu itu bagi kekal berada di Liga Premier musim depan.
Black Panthers yang difahamkan bakal menggandingkan trio iaitu Aakasit Naphon (perejam), Muhammad Zaim Mohd. Razali (pengumpan) dan Muhammad Zarif Merican Ibrahim Merican (tekong) nekad menebus kekalahan semasa menentang Kuala Lumpur Thunders baru-baru ini.
Dalam perlawanan di Spice Arena, Bayan Baru dekat sini Ahad lalu, Black Panthers dengan mudah dijinakkan juara Liga Premier 10-21, 12-21 menerusi gandingan tekong Kebangsaan, Syahir Rosdi, Amirul Zazwan (pengumpan) dan Azlan Alias (perejam).
Pengurusnya, Mohd. Kyairil Ridzuan Haron berkata, misi utama pasukan adalah kekal tersenarai dalam Liga Premier musim depan sekali gus layak beraksi di Piala Juara-Juara pada 20 hingga 26 Mac ini di Johor.
Menurutnya, persiapan telah dilakukan termasuk membuat ‘post mortem’ daripada kekalahan menentang Thunder di hadapan para penyokong sendiri Ahad lalu.
“Semangat pemain semakin berkobar-kobar untuk perlawanan minggu kelapan dan mahu membuktikan kepada penyokong Pulau Mutiara yang mereka mampu membenam pasukan lawan dan mahu menebus semula kekalahan.
“Pasukan Antlers beraksi atas pengalaman yang diperoleh mereka manakala kita pula bermain atas bakat pemain-pemain muda.
“Esok adalah misi bagi semua pasukan berentap untuk kekal beraksi di Liga Premier dan Piala Juara-Juara. Kerancakan perlawanan akan dapat dilihat pada akhir minggu kelapan ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, pasukannya mensasarkan berada di kedudukan kedua atau ketiga terbaik dalam carta liga STL musim ini dan yakin memperoleh kemenangan pada dua aksi terakhir itu.
Ketika ini, Black Panthers mengumpul 18 mata di bawah Antlers, setelah berdepan dengan tujuh kekalahan sejak minggu ketiga lalu. – UTUSAN