TEMERLOH: Mesyuarat agung pemilihan jawatankuasa baharu koperasi peringkat negeri yang diadakan tiga tahun sekali berjaya mengurangkan ‘politiking’ dalam gerakan koperasi di negara ini.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah berkata, perubahan tersebut memberi masa yang lebih lama kepada jawatankuasa bagi merancang dan fokus usaha memajukan koperasi.
Menurutnya, perubahan akta koperasi yang membenarkan pemilihan tiga tahun sekali bermula tahun lalu ternyata begitu positif mengurangkan ‘politiking’ dalam pemilihan jawatankuasa baharu.
“Jawatankuasa dan Ahli Lembaga Koperasi peringkat negeri dapat memberi tumpuan lebih usaha meningkat perolehan koperasi berbanding jika pemilihan jawatan setahun sekali.
“Tiadanya pemilihan jawatan memberi peluang kepada jawatankuasa memfokuskan agenda aktiviti ekonomi yang dapat merangsang kemajuan ekonomi negara dalam semua situasi,” katanya di sini semalam.
Abdul Fattah berkata, di peringkat pusat mesyuarat agung pemilihan kekal diadakan setahun sekali walaupun ada hasrat mengadakan tiga tahun sekali seperti di peringkat negeri.
Beliau berkata, Angkasa mencadangkan Akta Koperasi dan Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di bawah undang-undang kecil (UUK) dikaji semula bagi membolehkan koperasi pusat mengadakan mesyuarat agung pemilihan tiga tahun sekali.
“Sudah sampai masanya koperasi negara berubah mengikut perkembangan semasa berikutan pertambahan keahlian, keintelektualan ahli dan sistem komunikasi yang canggih,” katanya.
Tambahnya, dapatan kajian sebuah konsultan mendapati pemilihan pada setiap tahun antara faktor koperasi hilang fokus membuat perniagaan.
“Ini kerana tampuk pentadbiran koperasi terlalu fokus kepada pemilihan untuk mempertahankan jawatan sekali gus mengganggu agenda untuk memajukan memajukan koperasi,” katanya. – UTUSAN









