KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim meminta ketidakhadiran menteri dan timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri dicatatkan dalam persidangan di Parlimen hari ini.

Beliau menyifatkan, tindakan untuk mencatatkan ketidakhadiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Senator Datuk Lim Ban Hong adalah penting sebagai peringatan semua pihak.
“Saya dimaklumkan beliau tidak ada di Dewan. Jika tidak ada di Dewan, timbalan menteri dibenarkan menjawab. Jika tidak ada timbalan menteri menjawab, saya mahu Dewan ini mencatatkan bahawa ini tidak selaras dengan peraturan mesyuarat dan juga semangat akta.
“Oleh kerana hal ini penting diketahui oleh semua pihak, seseorang menteri yang tidak dapat menjawab di Dewan yang mulia ini hendaklah mengarahkan timbalannya menjawab sesuatu soalan. Sekiranya timbalan itu tidak dapat menjawab, boleh diwakilkan kepada mana-mana menteri untuk menjawab bagi pihak pentadbiran.
“Jika itu tidak dapat dilakukan, catatan ini harus menjadi sebahagian daripada prosiding dan satu jawapan bertulis hendaklah diberi oleh Yang Berhormat menteri kepada Dewan mulia ini,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dijadual menjawab soalan yang dikemukakan oleh Senator Muhammad Zahid Md. Arip mengenai pendirian Malaysia berhubung konflik antara Rusia dan Ukraine terutama daripada aspek ekonomi dan politik.
Muhammad Zahid juga bertanya mengenai langkah bagi menangani kesan ekonomi terhadap negara ini susulan konflik itu.

Dalam pada itu, Senator Datuk Othman Aziz tampil meminta penjelasan Speaker sama ada soalan yang diajukan kepada menteri atau timbalan menteri yang tidak dijawab boleh dibawa ke hari berikut.
“Kalau semua orang berbuat sedemikian, kita mainkan peranan ‘pak tangguh’ dan Dewan ini tidak berkeadaan sedemikian. Sama ada kita melihat peraturan di house of laws atau ada dalam amalan demokrasi lain.
“Ini tidak harus dibenarkan, kecuali atas sesuatu perkara yang sangat mendera atau terpikul oleh pihak yang berkenaan. Oleh kerana pihak saya tidak menerima secara khusus hal ini maka ia berada dalam penentuan seperti saya tegaskan sebentar tadi,” katanya. – UTUSAN