Mengapa jual MySejahtera kepada syarikat swasta? - Anwar - Utusan Malaysia

Mengapa jual MySejahtera kepada syarikat swasta? – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil mempersoalkan tindakan kerajaan melakukan penjualan aplikasi MySejahtera kepada syarikat swasta, MySJ Sdn. Bhd. seperti dilaporkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.

Dalam laporan itu, keputusan penjualan tersebut dibuat oleh Kabinet pada 26 November 2021 serta membenarkan Kementerian Kesihatan melantik MySJ Sdn. Bhd. melalui mekanisme rundingan terus untuk mengambil alih aplikasi MySejahtera.

Kata Anwar, kerajaan seharusnya mengambil kira cadangan PAC yang mengesyorkan pengambilalihan operasi MySejahtera tanpa kos tambahan memandangkan aplikasi tersebut kini telah menjadi elemen penting dalam sistem kesihatan negara.

Beliau turut mempersoalkan keterangan pegawai Kementerian Kesihatan yang menafikan hubungan antara MySJ dan KPISoft (kini dikenali sebagai Entomo) iaitu syarikat yang membangunkan aplikasi MySejahtera sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Dakwaan bahawa tidak ada kaitan antara KPISoft/Entomo dan MySJ Sdn. Bhd. mesti diteliti dan disiasat. Pengarah-pengarah MySJ juga termasuk individu-individu yang punya kaitan politik dan perniagaan dengan beberapa parti dalam kerajaan termasuk Tan Sri Shahril Shamsuddin yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Energy sehingga Mac 2021 dan Tan Sri Megat Najmuddin yang merupakan seorang ketua UMNO bahagian yang kemudian menjadi anggota kanan Bersatu.

“Sementara itu, 81.4 peratus saham MySJ dimiliki oleh sebuah syarikat yang lain iaitu Revolusi Asia Sdn. Bhd. di mana 88 peratus dimiliki oleh pengasas-pengasas KPISoft. Dalam kata lain, 71.2 peratus saham MySJ dimiliki oleh dua pengasas KPISoft yang membangunkan aplikasi MySejahtera. Untuk mengatakan bahawa tidak ada kaitan antara KPISoft/Entomo dan MySJ Sdn. Bhd. adalah tidak jujur,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menyifatkan, penyerahan operasi aplikasi MySejahtera tidak dibuat secara tender terbuka sebaliknya dibuat menerusi rundingan terus.

“Apa yang berlaku ini hanya mirip kepada gejala menganugerahkan syarikat-syarikat dan individu yang dekat dengan pemerintah.

“MySJ Sdn. Bhd. termasuk pengarah-pengarah yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam mengurus pengoperasian perisian atau teknologi maklumat tidak jelas dan menimbulkan kebimbangan tentang logik menganugerahkan aplikasi ini secara runding terus,” katanya.

Tambahan pula katanya, penjualan MySejahtera kepada syarikat swasta hanya menimbulkan kebimbangan tentang pengurusan data peribadi dan kemungkinan wujudnya penyalahgunaan maklumat kesihatan jutaan rakyat Malaysia.

“Aplikasi MySejahtera telah merekodkan lebih 11 bilion daftar masuk sejak Disember 2020 menurut GitHub. PAC juga memberitahu segala data dalam MySejahtera dan kerahsiaannya adalah di bawah kawalan Kementerian Kesihatan.

“Kerajaan memberi jaminan bahawa maklumat data peribadi hanya digunakan untuk tujuan mengurus dan membendung penularan wabak Covid-19. Ia tidak akan dikongsi kepada mana-mana pihak,” katanya.

Justeru, beliau menyifatkan terdapat beberapa persoalan yang perlu dijelaskan oleh pihak kerajaan.

“Apa sebab-sebab MySJ menjadi satu-satunya syarikat yang ditimbangtara untuk projek ini?

“Apakah skop dan kepakaran MySJ terkait pengoperasian MySejahtera dan bagaimana kerajaan boleh memastikan data-data yang dikumpul oleh aplikasi itu tidak akan disalah guna oleh pihak ketiga termasuk MySJ Sdn. Bhd.

“Apakah peranan dan tanggungjawab MySJ dalam memastikan data yang dikongsi rakyat Malaysia melalui MySejahtera atas dasar mandat awam tidak akan digunakan sama sekali untuk tujuan pemasaran, pembangunan produk, pemantauan, mahupun untuk tujuan yang berunsur diskriminasi?” Soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya