Mayat wanita dalam gaung, polis jumpa petunjuk baharu   - Utusan Malaysia

Mayat wanita dalam gaung, polis jumpa petunjuk baharu  

PIHAK polis dengan bantuan Unit K9, forensik dan pakar patalogi daripada HTJ membawa salah suspek ke kawasan belukar di Taman Bukit Zamrud, Seremban bagi mengesan petunjuk atau bukti baharu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penemuan mayat wanita tanpa identiti dalam gaung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis menemui petunjuk baharu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat wanita dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah di sini, pada 20 Mac lalu

Tinjauan di lokasi petang ini mendapati, pihak polis bersama bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) membawa seorang daripada tiga suspek yang direman ke kawasan belukar berhampiran tangki milik Pengurusan Aset Air Berhad di Taman Bukit Zamrud di sini sejak pukul 4.30 petang untuk mencari bukti baharu tersebut.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Datuk Che Zakaria Othman berkata, siasatan masih dijalankan berdasarkan maklumat yang diberitahu oleh suspek.

“Kes ini masih dalam siasatan di mana salah seorang suspek (yang direman sebelum ini) telah dibawa (untuk menyiasat bukti baharu), kita menyiasat berdasarkan apa yang dia (suspek) beritahu.

“Pihak polis bersama forensik dan pakar patalogi daripada Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban ada bersama dan kita harap akan dapat sesuatu,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian bukti baharu di Taman Bukit Zamrud di sini hari ini.

Pada 22 Mac lalu, dua lelaki berusia 41 dan 44 tahun bersama seorang wanita berusia 18 tahun yang merupakan rakan mangsa yang mayat ditemui dalam gaung  ditahan di dua lokasi di daerah Seremban.

Mayat mangsa wanita tanpa identiti itu ditemui dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah pada 21 Mac lalu  dan kes diklasifikasikan sebagai bunuh.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN