SEREMBAN: Syarikat pemaju perumahan, Matrix Concepts Holdings Bhd. (Matrix Concepts) hari ini membuat pembayaran secara ex-gratia sebanyak RM840,000 kepada 11 keluarga masyarakat Orang Asli suku Temuan dari Kampung Pelebar, Labu di sini.
Pembayaran tersebut sebagai jalan penyelesaian kepada isu pertikaian tanah sejak 2017 melibatkan kedua-dua pihak walaupun mahkamah kemudiannya memutuskan pertikaian itu memihak kepada Matrix Concepts.
Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts, Ho Kong Soon berkata, pihaknya berbesar hari kerana pertikaian tersebut diselesaikan secara baik termasuk dengan penglibatan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Besar harapan kami juga agar semua pihak yang terlibat dapat terus berusaha ke arah yang lebih baik untuk semua,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan cek contoh pembayaran tersebut di Wisma Negeri, di sini hari ini.
Cek contoh tersebut diserahkan oleh Kong Soon kepada wakil 11 ahli keluarga Orang Asli tersebut iaitu Seli Tiot sambil disaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Sementara itu, Menteri Besar berkata, tanah tersebut diberikan kerajaan negeri kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang kemudiannya melantik Matrix Concepts sebagai pemaju untuk dibangunkan dengan projek perumahan.
Kata beliau, dua kumpulan masyarakat Orang Asli sebelum ini yang mempunyai rumah dan tinggal di kawasan tersebut telah pun diberikan ganti rugi di atas pengambilan tanah yang bermula tahun 2004 itu.
“Alhamdulillah, pertemuan saya bersama pihak pemaju dan kumpulan Orang Asli terlibat pada hari kelmarin telah membuahkan hasil dan hari ini kita berjaya menyelesaikan isu pertikaian tanah ini,” katanya lagi. – UTUSAN