Mat Sabu dakwa PM setuju ceramah PRN sehingga 12 tengah malam

Mat Sabu dakwa PM setuju ceramah PRN sehingga 12 tengah malam

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu (Mat Sabu) mendakwa Perdana Menteri membenarkan ceramah sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilanjutkan sehingga pukul 12 tengah malam.

Menurut Ahli Parlimen Kota Raja itu, perkara tersebut dizahirkan sendiri oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam pertemuan yang diadakan selepas sidang Parlimen semalam.

Katanya, persetujuan membenarkan ceramah ditamatkan pada 12 tengah malam berbanding 10 malam ketika ini dikemukakan dalam pertemuan yang turut dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

“Dalam pertemuan pada pukul 2 petang itu, kami berjumpa Perdana Menteri dan Guan Eng menyuarakan hasrat supaya ceramah dilonggar sedikit prosedur operasi standard (SOP) bila dibuat di tempat terbuka seperti ini.

“Saya kata kepada beliau (Ismail Sabri), kenapa sampai 10 malam sahaja, biarlah sampai 11 malam. Perdana Menteri kata, kalau ikut beliau, biar sampai 12 tengah malam.

“Demi Allah, Perdana Menteri sendiri yang cakap, saya pun bagitahu keluarkanlah arahan, jangan hanya cakap di sini sahaja,” katanya ketika berucap dalam ceramah PH di Bilik Operasi Utama DUN Kota Iskandar di Taman Mutiara Rini, Skudai,di sini malam tadi.

Yang turut hadir Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd. Aziz dan calon PH bagi DUN Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad.

Mohamad berkata, Ismail Sabri bagaimanapun memberitahu akan membawa perkara itu untuk diputuskan mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini.

“Beliau kata tak apa, beliau akan beritahu dalam mesyuarat Kabinet Jumaat ini, tapi itu lambat lagi. Sebagai Perdana Menteri, beliau boleh buat arahan, tapi arahan itu kini hanya dimaklum kepada kami bertiga sahaja, menteri-menteri dan pegawai kerajaan belum lagi,” jelasnya. 

Mengikut SOP yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penganjuran ceramah, syarahan atau kempen dalam PRN Johor dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 100 hadirin sahaja.

Setiap aktiviti hanya dibenarkan diadakan selama dua jam dan tidak melebihi pukul 10 malam, manakala penganjuran di premis terbuka atau tempat umum pula tidak dibenarkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN