KLUANG: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik bersikap terbuka dengan kekalahannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang dan menganggapnya sebagai adat pertandingan.
Maszlee berkata, beliau akur dengan keputusan rakyat di kawasan itu yang memilih calon Barisan Nasional (BN), Abd. Mutalip Abd. Rahim sebagai wakil rakyat mereka.
“Kita dapati peratusan mengundi agak rendah bukan hanya di Layang-layang, malah seluruh Johor dan ini agak menjejaskan beberapa peratusan pengundian yang sebelum ini diberikan kepada Pakatan Harapan (PH) dan PKR.
“Kalau kita lihat, peratusan mengundi mereka yang sebelum ini mengundi kita dalam pilihan raya kali ini tidak pulang. Mungkin mereka berada di Singapura dan tidak dapat masuk dan mungkin ada yang bimbang terhadap gejala Covid-19,” katanya dalam sesi siaran langsung di Facebook miliknya, malam tadi.
Maszlee bagaimanapun berkata, beliau tetap komited memberi perkhidmatan terbaik dan sumbangan khususnya kepada masyarakat Simpang Renggam.
“Pola pengundian mereka juga sukar dijangka tetapi insha-Allah dengan kesedaran sivik berterusan untuk memahami pentingnya penglibatan dalam pilihan raya dan kepentingan memberikan undi agar di masa hadapan, mereka boleh keluar mengundi dan memberi pilihan terbaik,” katanya. – UTUSAN