SEREMBAN: Masalah mental yang dihadapi oleh pengguna dadah sintetik perlu diberi perhatian dan pemulihan selain rawatan ketagihan yang boleh membawa maut jika diambil secara berlebihan.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, terdapat tiga elemen yang perlu dirawat melibatkan pengguna dadah sintetik iaitu masalah ketagihan, kesihatan dan mental.
“Penggunaan dadah sintetik secara berlebihan boleh membawa maut, sekiranya individu itu ketagih ia akan merosakkan mental, cabaran pada kita untuk memulihkan tahap mental mereka terlebih dahulu. Pengguna dadah sintetik bukan setakat perlu dirawat ketagihannya tetapi masalah kesihatan dan mental yang mana ketiga-tiga sekali perlu dirawat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Penyerahan Sistem Mycare Semasa Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri Sembilan di sini yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurut Sutekno, lebih membimbangkan kini terdapat sesetengah pihak boleh memesan dadah sintetik seperti syabu, pil kuda dan eramin 5 melalui platform secara dalam talian tanpa perlu ada ‘port’ atau lokasi untuk menghisap dadah.
“Dadah sintetik ini sama ada dibekalkan oleh individu tertentu secara online atau pembekal itu sendiri yang menjadi penghantar barang untuk barangan terlarang tersebut,” katanya.
Sutekno berkata, ibu bapa serta orang ramai perlu lebih berwaspada dan mengawasi anak-anak supaya mereka tidak menggunakan platform dalam talian memandangkan sesetengah peralatan menghisap dadah sintetik seakan alat permainan yang boleh dibeli di pasar malam.
Sementara itu, Aminuddin berkata, terdapat dua kawasan berisiko dadah di Negeri Sembilan iaitu Ampangan di Seremban dan Rompin di Jempol dikategorikan kuning pada tahun ini.
“Kerajaan negeri justeru menerusi program MyCARE berhasrat menghijaukan dua lokasi terbabit daripada kawasan berisiko kuning kepada hijau. Program MyCARE merupakan cetusan idea saya sendiri, AADK Negeri Sembilan telah diminta untuk mengambil inisiatif membantu klien (pengguna dadah) daripada pelbagai sudut melibatkan pelbagai agensi awam dan swasta,” katanya.
Beliau berkata, melalui program ini, klien bukan sahaja dibantu dari segi rawatan pemulihan tetapi juga memberi fokus kepada pembangunan kerjaya, pengetahuan, kemahiran, keluarga, kesihatan dan keselesaan tempat tinggal. – UTUSAN










