LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak menahan sebuah bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara dekat Pulau Lalang, Bagan Datuk, petang semalam.
Bot nelayan dari Indonesia itu dikesan berada pada kedudukan tujuh batu nautika barat daya Pulau Lalang yang merupakan sebahagian daripada gugusan Pulau Sembilan, kira-kira pukul 2 petang.
Timbalan Pengarah Operasi, Komander Maritim Fadzliana Fadzil berkata, tangkapan itu dilakukan oleh bot ronda Maritim yang sedang melaksanakan Op Benteng dan Op Pintas di perairan Pulau Sembilan.
“Pemeriksaan oleh pasukan operasi mendapati bot tanpa nombor pendaftaran itu dikendalikan tiga kru termasuk tekong warga Indonesia tanpa memiliki sebarang pengenalan diri yang sah dan berusia lingkungan 40 hingga 44 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Fadzliana, mereka juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pihak berkuasa setelah memasuki perairan perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63.
Jelasnya, bot serta kru diiring ke jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di Kampung Acheh, dekat sini, untuk proses penahanan, siasatan dan tindakan lanjut yang akan dilaksanakan oleh pegawai penyiasat.
Kata beliau, penahanan itu membuktikan Maritim sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun keadaan cuaca yang tidak menentu.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah kepada Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999. – UTUSAN