KUALA TERENGGANU: Keadaan cuaca baik membolehkan bilangan mangsa banjir menurun kepada 16,337 orang berbanding 17,742 orang yang direkodkan pada pukul 8 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat pukul 4 petang ini, kesemua mangsa melibatkan 4,226 keluarga ditempatkan di 111 pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, jumlah mangsa tertinggi kekal di Kemaman dengan seramai 8,734 orang manakala di Dungun (3,106 orang) dan Hulu Terengganu pula berkurang kepada 2,626 orang.
“Penurunan mangsa turut direkod di Kuala Terengganu daripada 728 orang kepada 498 orang diikuti Kuala Nerus (534 orang), Besut (431 orang), Setiu (403 orang) dan Marang (lima orang),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, di Kemaman mangsa banjir dijangka terus bertambah susulan kejadian air pasang besar hingga menyebabkan banjir merebak ke Chukai. – UTUSAN