PUTRAJAYA: Malaysia bersama-sama 31 negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyokong resolusi berkaitan isu krisis Ukraine-Rusia.
Menurut kenyataan Wisma Putra di sini hari ini, usul berkenaan diluluskan pada sesi ke-49 di ibu pejabat MHAM di Geneva, Switzerland lewat semalam setelah perdebatan khas dua hari.
Kejayaan itu membolehkan MHAM menubuhkan Suruhanjaya Bebas Siasatan Antarabanga bagi menjalankan penyiasatan rapi pencabulan hak asasi warga Ukraine oleh tentera Rusia.
“Resolusi bertajuk ‘Situasi hak asasi manusia di Ukraine berpunca daripada keganasan Rusia’ itu telah diperbahaskan bermula pada 3 Mac lalu sebelum pengundian berlangsung,” katanya.
Sebanyak 32 negara mengundi bersetuju termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, Emiriah Arab Bersatu, Jerman, Jepun, Indonesia, Korea Selatan, Nepal, Perancis, Somalia dan Qatar.
Namun dua lagi membantah iaitu Rusia sendiri dan Eritrea, manakala 13 negara berkecuali antaranya Armenia, China, Cuba, India, Kazakhstan, Namibia, Pakistan, Sudan dan Uzbekistan.
Ini kali kedua PBB meluluskan resolusi mengutuk Rusia selepas Perhimpunan Agung badan dunia itu di New York, AS pada Rabu lalu menyaksikan 141 negara menyokong usul serupa.
Mengulas lanjut, Wisma Putra menambah, Malaysia menyokong atas komitmen terhadap prinsip Piagam PBB terutama menghormati kedaulatan dan integriti negara yang bebas merdeka.
“Malaysia juga menyatakan kebimbangan bahana konflik dua negara berjiran di Eropah itu akan bertambah buruk dan mencetuskan krisis kemanusiaan di wilayah bergolak,” jelasnya.
Justeru, dengan penerimaan resolusi itu, Malaysia menyeru semua pihak bertelagah segera mengambil langkah segera meredakan ketegangan dan mengelakkan kemusnahan teruk. – UTUSAN










