lebih ramai pelancong

Malaysia bakal terima lebih ramai pelancong Arab Saudi 

DR. MAHMOUD Hussein Saeed Qattan menyerahkan kurma sumbangan Raja Salman kepada Pengarang Berita Utusan Malaysia, Mohd. Radzi Mohd. Zin di Jalan U Thant, Kuala Lumpur hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih ramai pelancong Arab Saudi dijangka berkunjung ke negara ini berikutan pembukaan semula sempadan Malaysia mulai hari ini.

Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr. Mahmoud Hussein Saeed Qattan berkata, beliau yakin Malaysia akan terus menjadi destinasi pilihan pelancong negaranya selepas bermulanya era endemik Covid-19.

“Kami amat mengalu-alukan langkah Malaysia membuka sempadan negaranya dan menjangka lebih ramai pelancong dari Arab Saudi akan datang ke sini selepas 1 April,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kurma hadiah Penjaga Dua Tanah Haram, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud di pekarangan pejabat Atase Agamanya di Jalan U-Thant di sini.

Hadir sama Atase Agama Kedutaan Arab Saudi, Syaikh Abdul Rahman Ibrahim Al-Robaian.

Pada Jun lalu, Malaysia menjalin bekerjasama dengan Arab Saudi bagi memulihkan serta menggalakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan kedua-dua negara, termasuk dalam mempromosikan Pelancongan Mesra Muslim (MFT). 

Kerjasama itu dibincangkan antara Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri bersama rakan sejawatabnya dari Arab Saudi, Ahmed Al-Khateeb menerusi pertemuan secara virtual.

Jumlah kemasukan pelancong dari Arab Saudi ke Malaysia pada tahun 2019 adalah  121,444 orang daripada jumlah keseluruhan pelancong antarabangsa, 26.1 juta orang.

Sementara itu, Dr. Mahmoud Hussein berkata, sebanyak 57 tan kurma dibawa khas dari Riyadh untuk diagihkan kepada pelbagai agensi termasuk Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri, pejabat mufti negeri, jabatan agama Islam negeri, masjid, surau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan juga media.

Selain itu, katanya, turut diadakan majlis berbuka puasa dan agihan mushaf al-Quran yang telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu.

“Semua program ini diadakan di negara-negara yang mempunyai penduduk beragama Islam termasuk di Eropah dan Afrika Selatan,” jelasnya.

Antara NGO yang menerima sumbangan hari ini ialah Yayasan al-Khadeem, Pertubuhan Ilmuan Malaysia dan MRM.

Institusi media yang turut menerima sumbangan adalah Utusan Malaysia, Berita Harian, RTM, Bernama dan TV al Hijrah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN