Malaysia di landasan betul pemulihan ekonomi 

Malaysia di landasan betul pemulihan ekonomi 

ISMAIL Sabri bersama rakyat Malaysia yang berada di Qatar. - FB ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia berada di landasan betul ke arah pemulihan negara ekonomi menerusi inisiatif dilakukan kerajaan untuk menangani Covid-19.

Ketika bertemu dengan 200 ahli Keluarga Malaysa di Qatar, Perdana Menteri menjelaskan kerajaan berhasrat merapatkan kembali ikatan dengan negara luar dengan mengadakan beberapa siri lawatan termasuk negara ASEAN dan kini Timur Tengah seperti Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu.

Jelas beliau, hal ini kerana perkara itu penting demi untuk mengekalkan hubungan bagi menarik pelaburan yang membantu proses pemulihan ekonomi dirancang. 

“Gembira dapat bertemu dengan 200 ahli Keluarga Malaysia di Qatar. Kira-kira 4,580 rakyat Malaysia menetap di Qatar daripada pelbagai latar belakang seperti ahli perniagaan, golongan profesional dan lain-lain.

“Dalam pertemuan yang bermakna ini saya menerangkan kepada mereka perkembangan terkini tanah air terutama inisiatif kerajaan tangani Covid-19 dan jaminan bahawa Malaysia berada di landasan yang betul bagi pemulihan ekonomi negara. 

“Turut disentuh adalah merapatkan kembali ikatan dengan negara luar dengan mengadakan beberapa siri lawatan termasuk negara ASEAN dan kini negara Timur Tengah seperti Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu. Penting untuk kita mengekalkan hubungan ini bagi menarik pelaburan yang akan membantu proses pemulihan ekonomi yang dirancang,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Ismail Sabri kemudian merakamkan ucapan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia di Qatar dan menyifatkan mereka semua tetap kebanggaan rakyat Malaysia walaupun berada jauh dari tanah air tercinta.

Beliau berbangga dengan semua Keluarga Malaysia di Qatar yang terus mengekalkan budaya Malaysia dan mendapat sanjungan dari rakyat Qatar. 

“Ingatan saya, jadilah seperti ikan di laut yang tinggal dan makan dalam air masin namun isi tetap tawar dan tidak bertukar rasa menjadi ikan yang masin,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN