PETALING JAYA: Lokasi tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 dekat sini masih ditutup dan tiada sebarang kerja pembersihan dan mengalihkan tanah runtuh dijalankan buat masa ini kerana tahap kestabilan tanah masih belum dipastikan.
Penutupan itu susulan pasukan jawatankuasa teknikal kerajaan antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) masih menjalankan kajian pergerakan tanah.
Ahli Majlis Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 23, Mohamad Samat berkata, sebarang keputusan untuk tindakan susulan di tempat kejadian bergantung kepada keputusan kajian yang dijalankan oleh jawatankuasa pasukan teknikal kerajaan itu kelak.
Kata beliau, pasukan berkenaan pada masa ini mungkin masih lagi mengkaji kekukuhan cerun sebelum keputusan-keputusan lain dibuat termasuk kerja pembersihan.
“Kita difahamkan pihak JKR menanam alat-alat sensor (pengesan) di atas bukit yang terjejas dan sensor sensitifnya mengesan secara berkala sebarang pergerakan tanah baharu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, sebarang tindakan lanjut mungkin dapat diputuskan dalam tempoh sehari dua lagi kerana tidak mahu timbul risiko sekiranya keputusan dibuat secara tergesa-gesa.
“Apa yang penting sekarang adalah kita minta penduduk yang terjejas untuk segera tampil membuat laporan dan mendaftarkan diri kepada pihak saya untuk kita aturkan bantuan yang sewajarnya.
“Buat masa ini, hanya 70 peratus penduduk dari 48 buah yang terjejas dan terpaksa berpindah sudah mendaftar, justeru kita minta keluarga yang belum tampil untuk berbuat demikian dengan hadir ke pejabat Ahli Majlis MPAJ Zon 23,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, semenjak menjadi Ahli Majlis di sini sejak lebih 10 tahun lalu, kawasan ini dianggap kawasan yang selamat, justeru kejadian tanah runtuh yang berlaku, kelmarin adalah amat tidak disangka dan mengejutkan semua pihak.
“Kawasan runtuhan adalah kawasan yang langsung kami tidak jangka (berlaku runtuhan) kerana mengikut sejarah, dari Jalan Teratai 1/2K hingga Sekolah Menengah Taman Seraya, Jalan Bunga Melati 10, jaraknya kira-kira satu kilometer.
“Dalam jarak ini, 80 peratus tebing adalah batuan dan hanya Jalan Teratai 1/2K dan Jalan Teratai 1/2J adalah tanah tambak dari zaman pembangunan kawasan ini dulu,” katanya.
Tambah Mohamad, ‘buffer zone’ atau zon penampan antara rumah penduduk di dua jalan itu dengan cerun yang runtuh juga dalam jarak selamat iaitu hampir 10 meter.
“Kawasan ini sering dipantau bagi mengelak berlaku batuan jatuh, runtuhan kecil dan MPAJ serta kerajaan membelanjakan jutaan ringgit untuk kerja memperkukuh cerun, membaiki longkang rosak dan membersihkan pokok tumbang,” katanya. – UTUSAN









