Lesap RM73,000 selepas kongsi nombor TAC - Utusan Malaysia

Lesap RM73,000 selepas kongsi nombor TAC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang penjawat awam kerugian RM73,000 selepas memberikan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) kepada individu tidak dikenali.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial  (JSJK) Melaka, Superintenden E. Sundra Rajan berkata, mangsa telah dihubungi seorang lelaki pada 14 Mac lalu yang memaklumkan isteri mangsa tersilap mendaftarkan butiran perbankan dalam talian CIMB menggunakan nombor telefon mangsa.

Menurutnya, suspek kemudian meminta mangsa menyerahkan nombor TAC sekiranya ada menerima mesej daripada pihak bank.

“Mangsa memberitahu ada menerima mesej nombor TAC daripada bank dan tanpa membuat pengesahan lanjut, mangsa terus menyerahkan nombor tersebut kepada suspek. Kemudian mangsa menerima mesej daripada bank yang memaklumkan terdapat pindahan wang berjumlah RM50,000 daripada akaun mangsa. Keesokannya pada 15 Mac mangsa membuat semakan semula wang dalam akaun bank dan mendapati, terdapat transaksi pindahan kali kedua berjumlah RM23,000 ke akaun yang tidak dikenali.

“Mangsa hadir ke bank untuk membuat pengesahan dan dinasihat membuat laporan polis. Mangsa hadir ke Balai Polis Ayer Keroh dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Sundra Rajan berkata, polis mengesan satu modus operandi baharu sindiket penipuan yang boleh mengakibatkan mangsa kehilangan wang dalam akaun mereka.

Jelasnya, sindiket akan menggunakan laman sosial Facebook untuk mengiklankan penjualan barang atau tawaran perkhidmatan yang sentiasa berubah bagi menjerat lebih ramai mangsa.

“Mangsa yang berminat akan berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan setelah bersetuju dengan tawaran, mangsa akan diberikan pautan fail android package kit (APK) untuk dimuat turun pada telefon. Aplikasi ini akan menggantikan sistem mesej sedia ada.

“Mangsa diarahkan untuk memasukkan nama, nombor kad pengenalan, e-mel, butiran kad kredit atau kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta maklumat perbankan dalam talian. Selepas tekan butang hantar, paparan error akan ditunjukkan. Pihak JSJK menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran yang mencurigakan dalam media sosial yang mengarahkan mangsa melakukan transaksi pembayaran,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN