Lebih penting kempen di PRN Johor berbanding tugas hakiki di Parlimen?

Lebih penting kempen di PRN Johor berbanding tugas hakiki di Parlimen?

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anthony Loke Siew Fook (PH-Seremban) menempelak Menteri Pengangkutan, DatuK Seri Wee Ka Siong yang dilihat mementingkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbanding tugas hakiki di Parlimen.

Siew Fook sebelum mengajukan soalan tambahan, sempat bertanya kepada Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong adakah sibuk berkempen dalam PRN Johor menyebabkan Ka Siong tidak dapat hadir ke Parlimen.

“Tanggungjawab Menteri menjawab soalan di Parlimen, bukan sibuk berkempen sahaja. Saya pun ke Johor semalam, balik pukul 2 pagi dan Setiausaha Parlimen hantar pesanan untuk saya datang awal ke Parlimen hari ini.

“Jadi saya datang awal hari ini (ke Parlimen), jangan sibuk berkempen sahaja,” kata Siew Fook di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam soalan tambahan, Siew Fook ingin tahu bilakah sistem ‘e-testing’ dapat dilaksanakan sepenuhnya dan bila KPP-01 akan dibuka kepada semua institut memandu yang sebelum ini dimonopoli syarikat tertentu.

Henry ketika menjawab pertanyaan itu berkata, beliau tidak perlu menjawab pertanyaan Siew Fook itu kerana ianya bersifat politik.

Siew Fook kemudian bangun semula dan berkata, hadir ke Parlimen untuk menjawab soalan adalah tugas hakiki dan ketidakhadiran Menteri Pengangkutan itu adalah fakta.

Membalas kembali kepada Siew Fook, Henry berkata, Menteri Pengangkutan tidak hadir kerana mempunyai komitmen lain.

“Komitmen di Yong Peng (Johor),” balas Siew Fook. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN