PASIR SALAK: Kesukaran hidup lapan beradik di Sungai Manik di sini yang kematian bapa mereka baru-baru ini, mendapat perhatian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menyerahkan bayaran Faedah Pencen Penakat dan sumbangan kepada mereka.
Pengurus Perkeso Teluk Intan, Rak Boon Tan Rat berkata, lapan beradik itu layak menerima Faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Skim Bencana Pekerjaan untuk bapa mereka yang meninggal dunia secara mengejut pada 16 Februari lalu.
Katanya, sebaik sahaja menerima maklumat berkaitan kematian Orang Berinsuran (OB) iaitu bapa kepada adik beradik berkenaan, pihaknya mendapati caruman yang dibayar oleh majikan-majikan dalam tempoh pekerjaan OB melayakkan waris menerima Faedah Pencen Penakat.
“Balu, Siti Norlia Ramsah menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar dan bayaran Pencen Penakat berjumlah RM1,236.37 sebulan.
“Faedah ini dibayar kepada balu sepanjang hayat dan anak-anak sehingga mereka mencecah 21 tahun atau tamat pengajian di institusi pengajian tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Mohd. Firdaus Othman berkata, pihaknya memberi Bantuan Kanak-Kanak (BKK) untuk adik beradik itu yang diluluskan mulai Jun 2021 sehingga Mei 2022 dan sekarang disambung semula memandangkan keluarga itu memerlukan bantuan kewangan setelah kematian bapa.
“Bantuan RM500 setiap bulan dan sekarang disambung semula sehingga Mei 2023 atas penama demi masa depan mereka.
“Apa yang kami mahu ialah maklumat hendaklah betul. Kalau sudah berpindah, kena lapor di JKM hampiran supaya kami membuat tindakan susulan,” katanya.
Akhbar ini sebelum ini menyiarkan laporan seorang wanita yang berdepan cabaran sukar untuk menyara hidupnya dan lapan anak yang masih kecil selepas kematian suami.
Siti Norlia, 36, kematian suaminya, Mohd. Taufik Mohd. Noor, 38, yang meninggal dunia secara mengejut pada 16 Februari lalu menyebabkan wanita itu menyara lapan anaknya yang berusia semuda 11 bulan dan yang sulung 15 tahun seorang diri.
Anaknya yang kecil Mohd. Umar Yusuff berusia 11 bulan, Mohd. Wafiy Zaffran, 2, Luqman Haziq, 5, Asyraff Mikail, 7, Nuraireen Tasnem, 8, Nurnatasya Humaira, 11, Mohd Aidit Putra, 13, makala anak sulung Darwish Haikal berusia 15 tahun.
Siti Norlia mencari rezeki dengan membuat kuih dan menjualnya di Kampung Bahagia di sini dan ada yang dihantar ke kedai. – UTUSAN