PETALING JAYA: Kerajaan sedang mengkaji semula kuasa yang diberikan kepada pihak stesen televisyen (TV) untuk proses kelulusan penyiaran sesuatu filem atau drama.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, perkara itu dikaji oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan Kementerian Dalam Negeri.
Katanya, langkah itu bagi memastikan kandungan lebih terkawal dan hukuman lebih berat boleh dikenakan jika berlaku sebarang pelanggaran.
“Semua stesen TV yang membuat proses penapisan siaran perlu mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang menyebarkan klip video tanpa kebenaran yang boleh mencalar imej.
“Semua stesen penyiar juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan perkara yang sama tidak berulang,” katanya semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.
Selain itu, kata Zahidi, penerbit filem dan drama seharusnya memastikan kandungan bahan yang disiarkan mematuhi garis panduan penapisan filem yang ditetapkan dalam memastikan bahan penyiaran tidak menyimpang daripada ajaran Islam, adat dan budaya Malaysia.
Beliau berkata, garis panduan berkenaan perlu mengikut ketetapan LPF, Kementerian Dalam Negeri dan Garis Panduan Penapisan Kandungan Berunsur Islam oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Garis Panduan Siaran Televisyen RTM.
“Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) turut memastikan penggiat industri perfileman tempatan yang menerima Dana Kandungan Digital mematuhi terma kontrak yang telah ditandatangani iaitu kewajipan untuk mendapatkan kelulusan tayangan daripada LPF, Kementerian Dalam Negeri atau stesen penyiar.
“Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selaku agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mengeluarkan lesen-lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menetapkan syarat bahawa semua pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I) dikehendaki mematuhi peruntukan syarat lesen CASP-I,” katanya.
Kata Zahidi, sebanyak 45 aduan awam diterima sejak 2020 hingga Februari lalu melibatkan perbuatan memalukan fizikal atau kekurangan seseorang iaitu 20 aduan adalah berkaitan penularan kandungan penghinaan keadaan Orang Kurang Upaya (OKU).
Antara kes yang terlibat adalah kandungan oleh akaun Facebook milik Wan Noor Baizura yang kini sedang berada dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM.
“Atas dasar kawal selia bersama, antara tindakan lain termasuk pemberian nasihat atau panduan kepada pihak yang terkesan dan mengangkat kandungan yang diadukan kepada penyedia platform media sosial terlibat untuk penelitian lanjut berasaskan terma perkhidmatan dan piawaian komuniti mereka,” katanya. – UTUSAN