AMPANG JAYA: Kerja-kerja pembersihan kawasan runtuhan di Taman Bukit Permai, di sini telah mula digerakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), hari ini.
Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ir. Ts. Zafrul Fazry Mohd. Fauzi berkata, tumpuan pembersihan melibatkan tanah-tanah yang ada di hadapan kediaman penduduk yang terjejas.
Kata beliau, pembersihan dilakukan agar memastikan pemilik-pemilik kediaman dapat masuk ke rumah mereka.
“Namun begitu, masih ada lagi rumah-rumah yang penghuninya tidak dibenarkan masuk merujuk kepada keputusan yang dibuat jawatankuasa bencana semalam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Kata beliau, kerja-kerja pemotongan pokok di cerun juga sedang dilaksanakan oleh MPAJ ketika ini dan dijangka siap selewat-lewatnya 20 Mac ini.
“Tujuan penebangan pokok-pokok ini adalah mengurangkan beban yang berada di atas cerun yang mungkin berlaku lagi runtuhan sekiranya berlaku hujan lebat dan faktor tanah lembut seterusnya menyebabkan pokok-pokok ini tumbang dan membawa sekali tanah-tanah.
“Selain itu, kerja-kerja kajian dari agensi teknikal juga masih diteruskan lagi ketika ini dan kita ada masih ada masa dua minggu sebelum keputusan diputuskan jawatankuasa bencana untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis MPAJ Zon 23, Mohamad Samat ketika ditemui memberitahu, kerjasama yang baik diberikan oleh penghuni 22 kediaman di Jalan Teratai 1/2J, Jalan Teratai 1/2K, Jalan Mega Jaya, Taman Mega Jaya dan Taman Bukit Permai 1 yang diarahkan berpindah.
Jelas beliau, 22 kediaman itu melibatkan 15 rumah di Taman Bukit Permai 1 diikuti Jalan Teratai 1/2J (empat rumah) ; Jalan Teratai 1/2K (satu rumah) Jalan Mega Jaya, Taman Mega Jaya (dua rumah).
“Bagi penghuni di Taman Bukit Permai 1, mereka terlibat membabitkan 39 individu iaitu 24 dewasa dan 15 kanak-kanak.
“Kesemua penduduk memilih untuk tinggal di rumah saudara, hotel dan inap desa yang berdekatan,” katanya. – UTUSAN