KOTA TINGGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan konsep baharu pemilikan perumahan buat generasi kedua Felda bagi membantu mereka memiliki rumah.
Katanya, konsep sebelum ini memerlukan generasi kedua membeli rumah yang sudah siap disediakan Felda, tetapi banyak isu timbul sehingga menjejaskan perancangan Felda untuk pastikan generasi kedua mempunyai rumah sendiri.
“Dulu Felda bina rumah, namun banyak isu yang timbul antaranya rumah yang telah siap tetapi tidak mampu dibeli oleh generasi kedua Felda terutamanya yang bekerja sendiri, tiada slip gaji, jadi permohonan mereka dengan bank banyak ditolak.
“Konsep yang baru diperkenalkan tidak lagi menjual sepenuh rumah yang sudah siap, tetapi menjual lot tanah yang dikurniakan kerajaan negeri kepada generasi kedua untuk membina sendiri (rumah mereka).
“Kos infrastruktur (di lot tanah yang disediakan) akan ditanggung secara bersama oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Geran KRT Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor Tahun 2022 di sini hari ini.
Terdahulu, sebanyak 713 kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini diperuntukkan geran berjumlah RM4.27 juta.
Peruntukan itu merupakan sebahgian RM50 juta yang diluluskan kerajaan bagi tujuan memperkukuh dan memperkasakan KRT di seluruh negara. – UTUSAN










