PETALING JAYA: Kerajaan merangka beberapa penyelesaian jangka masa pendek dan panjang ekoran bencana banjir yang melanda negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, strategi itu dibincang berikutan keadaan cuaca tidak menentu akibat pemanasan global.
“Bagi penyelesaian jangka pendek, antaranya, kerajaan memastikan kesiapsiagaan insfrastruktur tebatan banjir pada tahap optimum dengan kerjasama kerajaan negeri.
“Kerajaan juga akan menyelenggara, mendalam dan membersih sistem saliran dan takungan banjir.
“Bagi penyelesaian jangka pendek, kerajaan meningkatkan kapasiti takungan air banjir dan memperkasa pelaksanaan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Strategi pengurusan bencana itu diputuskan secara bersama dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-138.
“Mesyuarat turut berbincang mengenai infrastruktur berkualiti seperti ECRL (Laluan Rel Pantai Timur), RTS (Sistem Transit Rapid) dan WCE (Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat) dan perolehan tanah untuk kepentingan awam serta Program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia sejajar dengan hasrat dan strategi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya. – UTUSAN