PETALING JAYA: Kerajaan perlu kawal selia sistem pembelian kredit motosikal yang kadarnya dilihat terlalu tinggi dan menindas pembeli yang kebanyakannya mereka daripada kumpulan berpendapatan rendah.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusoff Abdul Rahman berpendapat, kadar faedah bagi motosikal sepatutnya rendah dan tidak melampau.
“Motosikal berkuasa rendah ini secara amnya adalah kenderaan bagi golongan berpendapatan rendah, pelajar dan juga remaja.
“Jadi tidak sepatutnya bunga diletakkan terlalu tinggi hingga boleh menyebabkan harga kenderaan tersebut berlipat ganda,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, sepatutnya segala sistem berdasarkan pembelian kredit yang ada sekarang ni perlu dikawal selia oleh kerajaan supaya kadar faedah dikenakan itu adalah munasabah dan tidak menekan pengguna.
Beliau mengulas laporan akhbar ini tentang syarikat pengedar motosikal yang meletakkan kadar bunga tinggi untuk pinjaman yang ditawarkan malah dalam keadaan tertentu terutamanya jika berlaku kelewatan pembayaran ansuran, ia boleh mencecah hampir 100 peratus.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George memaklumkan, hampir keseluruhan aduan diterima oleh persatuannya mengenai syarikat kredit berpunca daripada sikap pembeli yang tidak membaca perjanjian terlebih dahulu.
Menurut beliau, melalui pemantauan CASSA, perjanjian tersebut bersikap berat sebelah apabila ia hanya meletakkan syarat-syarat untuk menjaga kepentingan syarikat itu dan bukan peminjam atau pengguna.
“Jika pengguna membuat laporan polis ia akan mengikut perjanjian yang sudah ditandatangani oleh mereka sendiri. Jadi dari segi undang-undang syarikat kredit tidak salah tetapi apabila dari segi kemanusiaan ia mendukacitakan.
“Masa sudah sampai untuk untuk kita tubuhkan pasukan khas menyemak balik segala perjanjian jual beli kerana kebanyakan perjanjian tersebut dibuat pada ketika dahulu tanpa pembaharuan mengikut situasi semasa.
“Di dalam keadaan sekarang, jika kita boleh melihat kembali perjanjian yang sudah menjadi standard pada masa ini boleh diubah untuk melicinkan dan memperkasakan dua belah pihak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. – UTUSAN










