PETALING JAYA: Hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini akan menentukan sama ada Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjaya memperdaya pengundi di negeri itu.
Ia di sebalik tindakan Nur Jazlan yang mengaku membawa Najib berkempen di Johor bagi pihak calon MCA atas alasan masih popular sekali gus menyumbang kepada kemenangan parti pada PRN Johor kali ini.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, hakikatnya, Najib adalah individu yang telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan melibatkan skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad).
Justeru, bagi Guan Eng, dalam keadaan Najib berkempen di Johor, beliau mempunyai beberapa rekod jenayah dan skandal yang secara tersiratnya kemenangan mungkin tidak memihak BN.
“12 Mac akan menentukan sama ada kedua-dua Nur Jazlan dan Najib berjaya memperdaya pengundi di Johor untuk mempercayai bahawa hitam sememangnya boleh menjadi putih dan rasuah bukan lagi isu yang penting kepada pengundi Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, Nur Jazlan memaklumkan, beliau yang mengatur lawatan Najib ke Johor untuk membantu calon MCA yang tidak dikenali, Nicole Tan Hiang Kee di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, dan strategi masuk ke Facebook Najib akan menjadikan calon tersebut terkenal kerana didorong populariti Najib.
Pengerusi DAP Johor, Liew Ching Thong, yang juga bertanding di kawasan itu menyifatkan, Najib berkempen seolah-olah beliaulah calon Menteri Besar ketika Najib telah disabitkan bersalah oleh mahkamah. – UTUSAN