Keluarga buntu ibu tunggal hilang empat hari lalu - Utusan Malaysia

Keluarga buntu ibu tunggal hilang empat hari lalu

ZAIZURA Mat Hussin dilaporkan hilang selepas menghantar ibunya ke sebuah klinik swasta di Chukai, Kemaman di sini empat hari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kehilangan seorang wanita selepas menghantar ibunya menjalani rawatan dialisis di sebuah klinik swasta Di Chukai di sini empat hari lalu menimbulkan keresahan keluarga. 

Usaha menjejaki Zaizura Mat Hussin, 45, menemui jalan buntu apabila telefon bimbitnya gagal dihubungi. 

Adik tirinya, Che Ku Noraini Che Ku Mohd Arifin, 37, berkata, sebelum kejadian mereka bersama-sama menghantar ibu, Haminah Latiff, 67, ke klinik namun diarah pulang oleh kakaknya. 

“Zaizura turut memaklumkan mahu keluar selepas selesai menemani ibu tetapi selepas kembali ke klinik pada pukul 3.30 petang didapati kakak tiada dan cubaan menghubunginya sehingga hari ini, gagal. 

“Ibu tidak lena tidur dan kurang selera makan kerana bimbang keselamatan kakak,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Lalang, Binjai hari ini.

Che Ku Noraini berkata, kakaknya yang merupakan ibu tunggal kepada empat anak berusia antara 14 hingga 22 tahun itu, sebelum ini tinggal di Pasir Putih, Kelantan. 

Katanya, Zaizura datang ke Kemaman sejak September tahun lalu untuk menjaga ibu mereka manakala keempat-empat anaknya kekal tinggal di Kelantan. 

Menurutnya, laporan polis mengenai kehilangan kakaknya dibuat di Balai Polis Chukai, Rabu lalu dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi  Che Ku Noraini di talian 016-5090689 atau balai polis terdekat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN