SHAH ALAM: Dikenakan tindakan atau bebas, nasib lapan penjawat awam yang disyaki berkomplot dalam aktiviti pengedaran dadah yang ditahan polis pada 6 hingga 8 Mac lalu bakal diketahui tidak lama lagi.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan menyiapkan fail kes untuk dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi tindakan selanjutnya.
“Sekarang polis menahan mereka di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) untuk kita buat siasatan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
“Kita tahan pada 17 Mac lalu, jadi kita akan siapkan fail kes dan dihantar kepada KDN. Ada tiga kemungkinan sama ada mereka dikenakan perintah tahanan, sekatan atau dibebaskan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Beliau menambah, sehingga kini tiada tangkapan terbaharu dibuat yang mana kekal 10 orang ditahan termasuk dua yang sudah dituduh di mahkamah.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang anggota penguat kuasa dan rakannya yang juga seorang nelayan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dakwaan mengedar dadah seberat 5.3 kilogram.
Dua tertuduh itu adalah antara 10 yang ditahan polis dalam serbuan di Putrajaya dan Johor selepas terlibat dalam sindiket pengedaran dadah jenis syabu yang didalangi penguat kuasa.
Dadah tersebut disyaki diperoleh daripada rampasan dalam satu operasi di perairan Selat Melaka yang cuba diseludup oleh sindiket bergerak aktif di Banting, Selangor untuk pasaran di Dumai, Indonesia.
Selepas tangkapan tersebut, saringan awal yang dibuat polis mendapati empat daripada penguatkuasa terbabit positif dadah jenis methamphetamine. – UTUSAN