IPOH: Persatuan Sahabat Orang Kurang Upaya (OKU) Perak mendesak Kak Long 7E supaya membuat pengakuan bahawa tindakannya membuat aksi badan dan memek muka melalui video tular adalah bertujuan mempersendakan golongan itu.
Timbalan Presidennya, Muhamad Firdaus Ibrahim berkata, meskipun wanita terbabit menafikan perkara itu dan telah membuat permohonan maaf, namun ia dilihat sebagai perbuatan tidak ikhlas.
“Dia memang sudah buat permohonan maaf tapi belum mengaku tindakannya memang mempersendakan OKU. Dia anggap (tindakannya) dalam video itu tidak bersalah. Kami berharap Kak Long mengaku dan buat permohonan maaf secara terbuka dan tindakan perlu dikenakan terhadap wanita itu seperti membuat kerja amal sebagai pengajaran untuk dirinya dan masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam di sini hari ini.
Menurutnya, perbuatan mengejek dan mempersendakan OKU bukan kali pertama berlaku malah tindakan itu menunjukkan sikap pihak yang tidak sensitif dan menghormati golongan berkenaan.
Tegasnya, tindakan mengajuk tingkah laku golongan OKU juga bukan suatu perkara yang boleh dipermainkan.
“Menghina OKU bukan perkara boleh dipermainkan. Kami juga ada perasaan, kehendak dan maruah. Perkara seperti ini sudah banyak kali berlaku dan kami kesal. Tujuan laporan polis ini dibuat bukan untuk menghukum tetapi supaya tindakan dapat diambil untuk memberi pengajaran bukan sahaja untuk Kak Long tetapi masyarakat,” katanya.
Terdahulu, video berdurasi 31 saat tular di media sosial yang memaparkan Kak Long menunjukkan mimik muka dan perwatakan seperti OKU.
Tindakan wanita itu mendapat kecaman warga maya yang sebelum ini berdepan kritikan hebat selepas videonya mengamuk di 7E dan KFC tular di media sosial. – UTUSAN