IPOH: “Tempat mereka di sekolah bukan di atas pelamin”.
Itu tegas Nga Kor Ming (PH-Aulong) ketika mencelah semasa sesi perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa meminta penjelasan mengenai isu perkahwinan remaja bawah umur.
Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, perkahwinan bawah umur perlu diharamkan sebagaimana masyarakat menentang buruh kanak-kanak.
Menurutnya, berdasarkan statistik, terdapat 16,000 kanak-kanak perempuan berkahwin di bawah umur.
“Saya pernah melawat pejabat Menteri Besar, beliau seorang datuk yang penyayang, cucu-cucunya comel, bayangkan jika cucu kita di bawah umur ini akhirnya bukan di bangku sekolah tetapi diletakkan atas pelamin?
“Saya rasa sudah sampai masanya kita haramkan perkahwinan bawah umur. Saya perlu katakan pedophile is wrong, mengikut Unicef pun, perkahwinan bawah umur harus disekat, dilarang dan Dewan Negeri ini mempunyai tanggungjawab meluluskan undang-undang supaya tiada lagi perkahwinan bawah umur dibenarkan di Perak.
“Tempat yang wajar untuk mereka ialah di bangku sekolah bukan dijadikan isteri yang akhirnya masa depan mereka hancur kerana mereka adalah kanak-kanak.
“Kita tak suka child labour, jadi kita haramkan perkahwinan bawah umur, ini adalah rintihan ibu bapa yang beriman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mencelah semasa sesi perbahasan pada sidang DUN Perak di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan masih belum bercadang untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur, namun komited dalam menangani isu tersebut.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, usaha mengekang pernikahan bawah umur dilaksanakan melalui program di bawah Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.
“Perkahwinan bawah umur bukan sahaja perlu ditangani melalui perubahan perundangan, malah melalui pendidikan, advokasi, kesihatan, pengukuhan institusi keluarga serta sokongan sosioekonomi masyarakat,” katanya. – UTUSAN