Hasrat dua sahabat naik kereta api ke Dabong tidak kesampaian

Hasrat dua sahabat naik kereta api ke Dabong tidak kesampaian

HASRAT Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri (kanan) untuk ke Dabong tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Ismail di Temerloh, Pahang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: “Arwah kelihatan terlalu gembira hendak ke Dabong, Kelantan dengan kawan-kawan menaiki kereta api. Dia minta izin pergi dan saya membenarkannya. Tak sangka, itu menjadi izin saya yang terakhir untuknya.”

Demikian luahan seorang ibu kepada seorang daripada dua remaja perempuan yang maut dalam kemalangan selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta di persimpa­ngan lampu isyarat Jalan Tengku Ismail di sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa, Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri, 18, dan rakannya Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman, 18, dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang selepas keluar minum bersama sebelum dirempuh sewaktu berhenti di lampu isyarat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut ibu Nur Irdina, Yusnani Mohd. Yusof, 46, anak keduanya keluar rumah sekitar pukul 10.30 malam selepas be­kerja sambilan menjual minyak wangi di Semantan Walk dan merancang bertemu rakan-rakan di sebuah bistro di bandar ini.

“Malam tadi dia beria-a tanya boleh tak ikut trip ke Dabong naik kereta api selepas subuh. Saya izinkan, dia nampak sangat te­ruja. Tak sangka, itu izin terakhir saya,” katanya dalam linangan air mata ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini.

Yusnani berkata, dia menge­ta­hui berita kemalangan itu selepas dihubungi rakannya yang melihat gambar tular dalam media sosial sebelum mengesahkan identiti anaknya.

Ibu Aneez Irdiena Sofya, Siti Asmaq Wan Abdul Kadir, 40, pula berkata, anaknya sudah mendaftar mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Sukan di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan dijadual melapor diri hujung bulan ini.

“Malam kejadian, dia minta izin nak keluar makan dan kemudian ikut trip ke Dabong. Saya benarkan. Dia teringin nak makan ikan patin tapi kedai kegemarannya tutup. Saya sempat janji akan masakkan bila dia balik dari Dabong,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini