Jumlah banduan di penjara melebihi kapasiti ditetapkan

Jumlah banduan di penjara melebihi kapasiti ditetapkan

IBRISAM Abdul Rahman ketika menghadiri majlis serah terima tugas Pengarah Penjara Pulau Pinang di Georgetown hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jumlah banduan yang ditempatkan di semua penjara seluruh negara ketika ini melebihi kapasiti ditetapkan.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, kapasiti yang ditetapkan adalah 62,000 orang, namun pada masa ini secara keseluruhannya terdapat kira-kira 70,000 banduan di 50 penjara termasuk penjara satelit.

“Antara penjara yang mengalami kepadatan penghuni adalah Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang yang mana kapasiti penjara ini adalah sekitar 3,000 orang, namun pada masa ini jumlah banduan di situ kira-kira 6,000 orang.

“Secara keseluruhannya, terdapat lebihan 8,000 penghuni, namun keadaan ini masih terkawal kerana kita mempunyai 10 penjara satelit di seluruh negara,” katanya selepas menghadiri majlis serah terima tugas Pengarah Penjara Pulau Pinang di sini hari ini.

Bekas Pengarah Penjara Perlis, Zulkifli Abdul Manah dilantik sebagai Pengarah Penjara Pulau Pinang dan Roslan Mohamed akan menjawat jawatan Pengarah Penjara Melaka.

Menurutnya, Penjara Seberang Perai dan Penjara Reman Pulau Pinang juga berdepan dengan jumlah banduan yang melebihi kapasiti penjara berkenaan.

“Kapasiti Penjara Seberang Perai adalah kira-kira 1,500 orang, namun jumlah penghuninya pada masa sekarang adalah 1,900 orang. Begitu juga Penjara Reman Pulau Pinang di mana kapasitinya ialah 1,100 orang banduan, tetapi pada masa ini jumlah penghuninya adalah melebihi daripada jumlah tersebut,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, JPM mahu lebih ramai banduan yang menjalani  hukuman ringan dikenakan sistem parol dan pemulihan dalam komuniti.

“Kita mensasarkan seramai 23,000 banduan akan menjalani hukuman  dalam komuniti menjelang 2030, malah sistem ini turut diiktiraf penjara di luar negara,” katanya.

Tambahnya, daripada jumlah banduan yang menjalani hukuman dalam komuniti hanya 0.4 peratus terlibat semula dalam jenayah berbanding mereka yang dihukum di penjara iaitu sebanyak 13 peratus. 

“Sekarang seramai 6,000 banduan menjalani hukuman menerusi sistem parol dan pemulihan dalam komuniti di seluruh negara. Kita lihat mereka menunjukkan perkembangan baik kerana berada bersama keluarga serta hidup dalam masyarakat dan ia juga sebagai persiapan mereka selepas bebas kelak,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN