MARAN: Kesatuan Sekerja Pembantu Penyediaan Makanan Hospital Semenanjung Malaysia (KSPPMHSM) menolak cadangan penswastaan bahagian saji di hospital-hospital kerajaan di negara ini.
Presidennya, Kamarulzaman Ramli berkata, cadangan ke arah itu telah ‘dirintis’ di hospital di Sabah membabitkan Hospital Queen Elizabeth 1, Hospital Queen Elizabeth 2 dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas yang memiliki seramai 79 orang membabitkan juru saji serta pembantu penyediaan makanan.
“Sebagai mana bantahan dan penolakan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), kita juga menolak cadangan itu kerana ia menepati suara pembantu pengendali makanan hospital kerajaan yang bimbang masa hadapan mereka.
“Cadangan penswastaan penyediaan makanan perlu ditolak dan jika dibenarkan tidak mustahil akan merebak ke hospital kerajaan di Sarawak dan Semenanjung,” katanya di Taman Desa Jaya Jengka di sini hari ini.
Khamis lalu, Cuepacs menggesa kerajaan menyemak semula cadangan penswastaan unit sajian dan dietetik membabitkan tiga hospital di Sabah.
Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat dilaporkan berkata, cadangan itu membabitkan permohonan menerusi surat bertarikh 22 Disember daripada sebuah syarikat swasta untuk mengambil alih perkhidmatan sajian di ketiga-tiga hospital terbabit kemudian terdapat surat dikeluarkan sebuah kementerian pada 11 Januari lalu.
Kamarulzaman berkata, proses perkhidmatan saji di hospital tidak sama dengan lain-lain jabatan seperti kepada penghuni asrama sekolah.
Ini kerana menurut beliau, pembantu penyediaan makanan atau juru sajian mempunyai kepakaran kualiti dan sukatan makanan dengan mengambil kira jenis penyakit yang dihidapii pesakit.
Tambah beliau, kesatuan itu curiga terhadap kemampuan pengendali makanan swasta memberi perkhidmatan kepada pesakit setanding pembantu sajian hospital kerajaan.
“Sekiranya ada kelemahan pengendali makanan kerajaan ia perlu diperbetulkan secara dalaman tanpa perlu dirombak terus untuk dikendalikan swasta,” kata beliau UTUSAN