isu peneroka

Isu Felda modal politik yang tidak diselesaikan – Anwar

ANWAR Ibrahim berucap ketika berkempen untuk calon PKR Tanjung Surat, Rosman Tahir di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Isu berkaitan generasi peneroka Felda sentiasa menjadi modal UMNO dan Barisan Nasional (BN) setiap kali menghadapi pilihan raya, namun perkara itu tidak pernah selesai dengan baik sehingga kini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, janji untuk menyelesaikan isu peneroka Felda terbabit termasuk generasi kedua akan sentiasa diulang oleh BN dan kini Perikatan Nasional (PN) mengikut langkah serupa.

“Setiap kali pilihan raya, UMNO, BN dan kini PN juga akan uar-uarkan nak selesai, tapi belum (diselesaikan). Almarhum Tun Abdul Razak (Hussein) yang memberikan gagasan besar Felda untuk bantu rakyat miskin.

“Malangnya bawah anak dia (Datuk Seri Najib Razak) dengan FGV (Holdings Berhad) masalah Felda ini balik (kembali),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai kempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, di sini, hari ini.

Tambah Ketua Pembangkang itu, masalah penempatan generasi kedua Felda sebenarnya sentiasa dibangkitkan oleh Ahli Parlimen PH di Dewan Rakyat kerana ia merupakan satu agenda yang belum selesai.

Katanya, perubahan struktur terhadap agensi tersebut perlu dilaksanakan bagi memastikan kebajikan peneroka termasuk dalam isu membabitkan jaminan terhadap kumpulan generasi kedua Felda.

“Cuma nasib baik sekarang ini harga kelapa sawit ini naik. Tapi kita bergantung nasib di situ sahaja. Dia turun, lingkup kita. Kalau naik selesa sekejap dan yang kita nak ubah adalah strukturnya termasuk jaminan untuk generasi kedua,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden PKR itu menegaskan tiada isu antara pimpinan parti tersebut dengan DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) mahu pun Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) berkaitan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ditanya sama ada perlu atau tidak gencatan senjata di blok pembangkang itu menghadapi PRN Johor, Anwar hanya menjawab beliau tidak mendengar apa-apa isu yang berbangkit.

“Saya ikuti dalam kalangan pimpinan PKR, DAP dan Amanah tiada. Semalam pun saya jumpa mereka kecuali Muda tidak berjumpa semalam. Kita tumpu kemenangan kawasan-kawasan kita bertanding,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya