Isu 40 peratus hasil negeri Sabah masih menjadi tanda tanya 

[Parlimen] Isu 40 peratus hasil negeri Sabah masih menjadi tanda tanya 

MAXIMUS JOHNITY ONGKILI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu melibatkan Pemberian Khas 40 peratus hasil negeri Sabah dikutip Kerajaan Persekutuan yang dimaklumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, sebagai ‘tidak lagi terpakai’ bertambah serabut apabila keputusannya masih menjadi tanda tanya. 

Hal itu berikutan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili tidak dapat menjawab secara terus jika benar sudah tidak lagi terpakai ketika ia termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. 

Maximus sebaliknya berkata, isu kutipan hasil negeri masih lagi dibincang dan dibentangkan oleh Jawatankuasa Perundingan Bersama melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. 

“Selepas itu, akan diputuskan dari segi jumlah (hasil negeri) yang akan nanti diberikan kepada Sabah, dan perkara ini telah saya sentuh dengan menteri kewangan dan beliau juga akan tekankan mengenai keputusan yang disebut (tidak terpakai) dibawa ke Majlis Khas. 

“Jadi, kita tunggulah Majlis Khas yang akan diadakan apabila selesai sidang Parlimen pada minggu hadapan,” katanya semasa menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini. 

Di awal pembentukan Malaysia, Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama subseksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan memperuntukkan, negeri Sabah berhak menerima Pemberian Khas dengan dua perlima atau 40 peratus daripada hasil negeri yang dikutip Kerajaan Persekutuan. 

Pada 14 Mac lalu, Utusan Online melaporkan, memetik ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman menggesa supaya menjelaskan mengenai Pemberian Khas 40 peratus hasil negeri dikutip Kerajaan Persekutuan yang tidak lagi terpakai seperti didedahkan Tengku Zafrul melalui jawapan bertulisnya bertarikh 3 Mac 2022. 

Mohd. Azis Jamman berkata, perkara itu tidak boleh dimuktamadkan antara Kabinet Persekutuan dan Kabinet Negeri sahaja tanpa mendahului proses pindaan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Parlimen.

Katanya, lebih mengelirukan apabila Maximus turut membuat kenyataan bahawa persetujuan telah dicapai, menyaksikan geran tahunan diperoleh Sabah adalah lima kali ganda lebih besar berbanding yang tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.

Ironinya, semasa menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan pada Isnin lalu, Tengku Zafrul pula menyebut perkara tersebut masih dalam proses rundingan.

Sementara itu, Isnaraissah Munirah Majilis (WARISAN-Kota Belud) mengasak soalan sama kepada Maximus mengenai formula dipakai dalam peringkat rundingan yang nilainya dikatakan lebih tinggi daripada 40 peratus sedangkan kadar itu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Bila masa (ia dibuat?) Siapa pemimpin yang terlibat? Bila masa pula Perlembagaan tidak lagi terpakai? Jangan pandang saya mewakili parti politik apa, tetapi pandang saya sebagai anak Sabah,” katanya. 

Sementara itu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran) meminta supaya Maximus tidak mengambil ringan soal kadar hasil negeri kerana ia merupakan tuntutan rakyat Sabah sejak sekian lama. 

“Ini tiba-tiba putuskan tidak terpakai. Kalau setakat mahu runding dan Yang Berhormat buat kenyataan begini, persoalannya siapa yang membuat keputusan? Adakah Kabinet? Kalau bukan, kenapa menteri (Tengku Zafrul) boleh beri jawapan bertulis seperti itu? Sewenang-wenangnya boleh jawab ini tidak terpakai, sedangkan ini termasuk dalam Perlembagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya