Ibu  tunggal habis duit  RM225,900 ditipu sindiket Love Scam - Utusan Malaysia

Ibu  tunggal habis duit  RM225,900 ditipu sindiket Love Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara terpedaya dengan janji manis seorang lelaki sindiket Love Scam yang dikenali melalui laman sosial Facebook, seorang ibu tunggal kerugian RM225,900.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintenden E. Sundra Rajan berkata, mangsa berusia 40-an mula mengenali suspek sejak Oktober tahun lalu dan hubungan mereka semakin erat kerana sering berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

Menurut beliau, suspek  meminta mangsa membuat pemindahan wang miliknya berjumlah AS$42,000 (RM176,244.60) daripada akaun West Business Finance ke akaun Bank Of China pada Disember 2021, bertujuan untuk mendapat kepercayaan mangsa.

“Suspek kemudian memberi maklumat akaun dan kata laluan yang berdaftar atas namanya untuk melakukan transaksi. Kemudian, suspek sekali lagi meminta bantuan mangsa untuk memasukkan wang suspek ke dalam akaun Maybank milik ibunya sebanyak RM10,000, tetapi tidak berjaya.

“Suspek meminta mangsa mendahulukan wangnya. Tanpa syak dan percaya mereka akan mengikat tali pertunangan pada Januari tahun ini, mangsa memasukkan wang sebanyak RM10,900 ke dalam akaun yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Sundra Rajan, suspek sekali lagi menggunakan taktik sama iaitu memasukkan duit miliknya berjumlah RM2.5 juta ke dalam akaun sebuah firma guaman untuk membeli rumah di Setia Alam, Selangor.

Bagaimanapun katanya, transaksi tersebut tidak berjaya kerana pindahan amaun yang tinggi perlu dikenakan bayaran kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Suspek meminta mangsa mendahulukan wang miliknya untuk dibayar kepada IMF dan mangsa telah membuat lapan kali transaksi pemindahan wang berjumlah RM215,000 ke dalam akaun yang diberikan suspek.

“Mangsa menyedari dirinya ditipu setelah wang simpanan miliknya berjumlah RM225,900 telah dipindahkan ke akaun yang tidak dikenali,” jelasnya.

Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Banda Hilir di sini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya