IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, perbuatan membazir makanan terutama pada bulan Ramadan perlu dihentikan.
Titah baginda, berdasarkan laporan, sebanyak 17,000 tan metrik sisa makanan yang boleh mengisi perut tiga juta rakyat dilupuskan setiap hari.
Baginda bertitah, sejumlah 4,080 tan metrik daripada jumlah tersebut adalah makanan yang dibazirkan dan jumlah berkenaan meningkat 10 peratus pada bulan Ramadan.
“Angka-angka tersebut membayangkan betapa seriusnya perbuatan pembaziran makanan yang sedang berlaku,” titah baginda semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di sini, hari ini.
Justeru, titah Sultan Nazrin, kerajaan negeri perlu mengambil langkah-langkah efektif termasuk mendidik rakyat di negeri ini menghentikan pembaziran makanan.
Baginda bertitah, semua jabatan kerajaan di negeri ini wajib menunjukkan contoh teladan yang baik dalam menghentikan pembaziran makanan.
Titah baginda, manusia perlu dididik dengan nilai menghargai makanan dan disemai dengan budaya tidak membazirkan makanan.
“Kerajaan Beta hendaklah mengambil langkah-langkah bermakna menghentikan pembaziran ini.
“Jabatan-jabatan kerajaan wajib menunjukkan contoh teladan bermula daripada menempah kuantiti makanan dalam majlis dan acara yang diadakan dan semasa berlangsungnya perjumpaan atau mesyuarat.
“Setiap isi rumah, sekolah, maktab dan universiti, masjid dan rumah ibadat serta operator makanan, restoran dan hotel wajib mengamalkan budaya tidak menyediakan makanan secara berlebihan yang hanya berakhir di dalam tong sampah,” titah baginda.
Sultan Nazrin juga menyeru semua pihak membantu usaha menyedarkan rakyat betapa pentingnya mengambil vaksin dos penggalak Covid-19.
Titah baginda, sehingga 18 Mac lalu, 66 peratus daripada penduduk dewasa di negeri Perak yang layak telah menerima dos penggalak.
Titah baginda, usaha-usaha akan ditingkatkan untuk menyedarkan rakyat betapa pentingnya meningkatkan sistem imuniti dalam menghadapi ancaman musuh biologi itu.
“Selain Jabatan Kesihatan, Beta menyeru masjid, rumah ibadat, sekolah, badan sukarela, pertubuhan belia dan anggota masyarakat untuk membantu usaha menyedarkan rakyat betapa pentingnya mengambil vaksinasi dos penggalak.
“Insaflah akan tugas berat yang sudah lebih dua tahun terpaksa dipikul oleh kakitangan kesihatan.
“Rakyat wajib menunjukkan simpati dan melaksanakan tanggungjawab membantu meringankan beban tugas kakitangan Jabatan Kesihatan dengan mengambil langkah-langkah preventif agar penularan wabak diminimumkan,” titah baginda.
Sementara itu, Mesyuarat Pertama Tahun Kelima DUN Perak Ke-14 berlangsung tiga hari sehingga Rabu ini.
Usul menyembah ucapan tahniah serta menjunjung kasih atas penzahiran titah diraja akan dibawa dan dibentangkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad esok.
Seramai 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbahas berkaitan usul berkenaan yang mana sembilan daripadanya adalah ADUN dan penyokong kerajaan, 10 ADUN termasuk Ketua Pembangkang dan seorang ADUN Bebas. – UTUSAN