Harumanis Perlis kembali, pengusaha lakukan jualan dengan jujur

Harumanis Perlis kembali, pengusaha lakukan jualan dengan jujur

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pada majlis perasmian Festival Mangga Harumanis Perlis 2022 di Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis Pusat Pertanian Bukit Bintang, Kangar, Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap para pengusaha harumanis Perlis melakukan jualan buah mempelam berkenaan dengan penuh jujur. 

Dalam masa sama, nasihat baginda, para pengusaha juga perlu menguruskan tanaman harumanis berdasarkan amalan pertanian baik bagi memastikan kualiti buah yang terhasil adalah gred premium dan selamat dimakan.

Baginda juga menyeru agar semua ladang harumanis di Perlis memohon persijilan MyGAP dari Jabatan Pertanian di mana Ia akan meningkatkan lagi kualiti hasil selain diiktiraf berkualiti dan selamat.

Manakala mengenai harga yang tinggi, baginda bertitah, harga yang ditawarkan adalah munasabah berdasarkan kaedah serta kos penanaman selain penjagaan yang rumit.

“Musim harumanis adalah singkat iaitu antara dua sehingga tiga bulan sahaja setahun. Jika diteliti berdasarkan kaedah serta kos penanamannya, ternyata harga berkenaan adalah munasabah kerana penjagaan pokok ini amatlah rumit dan sukar. 

“Malahan, para pengusaha juga terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi ekoran daripada masalah kenaikan harga input pertanian yang mendadak pada masa ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat merasmikan majlis pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis 2022 di Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis Pusat Pertanian Bukit Bintang, di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Pengarah Pertanian negeri, Hafizuddin Othman.

Seterusnya baginda mencadangkan agar syarikat-syarikat korporat di luar dan dalam negeri ini menjadikan mempelam harumanis Perlis sebagai cenderahati atau hamper eksklusif pilihan untuk dihadiahkan kepada klien-klien utama sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

“Pada masa sama, bagi keluarga yang berkemampuan pula jadikanlah harumanis sebagai juadah istimewa untuk berbuka puasa dalam bulan Ramadan bersama seisi keluarga yang tersayang,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut mengucapkan penghargaan kepada pihak Maybank dibawah ‘program sama-sama lokal’ yang banyak membantu pasaran secara dalam talian serta Air Asia yang mengembangkan pasaran buah berkenaan ke Sabah dan Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN