TEMERLOH: Anak sulung Kamarulzaman Mohd. Fauzi @Jazuli, 50, rakyat Malaysia yang sebelum ini koma dan strok di Korea Selatan, tidak dapat menahan sebak melihat wajah bapanya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam kelmarin.
Mohamad Zafifi, 28, berkata, perasaannya sedih bercampur gembira kerana bapanya selamat pulang dan tiba di tanah air tanpa halangan sejak berlepas dari Korea Selatan dengan pesawat Korean Air pada pukul 4.40 petang semalam waktu tempatan.
“Saya sedih mengenangkan penyakit tiba-tiba menyerang bapa ketika sedang bekerja di Korea Selatan lebih dua tahun lalu (sebelum Covid-19) semata-mata untuk menyara kehidupan kami sekeluarga di sini, khususnya kebajikan enam anak.
“Air mata ini tidak tertahan mengalir kerana melihat bapa sedar dari koma dan mulai pulih, tinggal lagi derita penyakit strok yang masih dihidapinya untuk meneruskan rawatan di tanah air,” katanya di pekarangan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini, malam kelmarin.
Kamarulzaman yang berasal dari Kampung Damak, Jerantut akan menyambung rawatan penyakit strok di Hoshas sejurus selepas tiba di KLIA dan dibawa menaiki ambulans ke Temerloh.
Menurut Mohammad Zafifi, dia reda dengan ujian Allah SWT dan menyifatkan ada hikmah di sebalik kejadian yang menimpa bapanya semasa di Korea Selatan.
“Saya dan keluarga gembira kerana bapa selamat kembali ke tanah air dan berdoa supaya derita strok ditanggungnya kembali pulih supaya dapat pulang ke rumah kami di Batu Balai,” katanya.
Tambahnya, segala usaha membawa pulang bapanya ke tanah air dibiayai sepenuhnya menerusi sumbangan kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berjumlah RM30,000 dan RM10,000 sebelum ini bagi pengurusan penerbangan dan menampung bayaran tunggakan hospital di Korea Selatan.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar menerusi bantuan tersebut termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah yang turut membantu berusaha sehingga memperoleh sumbangan itu,” katanya.
Dia juga berterima kasih kepada pemimpin setempat, Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) Damak dan JPKK Batu Balai serta penduduk kedua buah kampung tersebut yang turut menghulurkan bantuan kewangan ketika bapanya dirawat di Korea.
“Apapun saya reda dengan ujian Allah SWT ke atas bapa dan kini kami sekeluarga berasa gembira kerana berpeluang menatap wajah bapa lebih dekat,” ujarnya. – UTUSAN