PARIS: Perdana Menteri baharu Perancis, Sebastien Lecornu meletakkan jawatan pada Isnin selepas kurang sebulan memegang jawatan, sekali gus memburukkan krisis politik dan memberi tamparan baharu kepada Presiden, Emmanuel Macron.
“Lecornu menyerahkan peletakan jawatan kerajaan beliau kepada Presiden Macron dan Presiden sudah menerimanya,” kata Istana Elysee dalam kenyataan ringkas.
Tempoh perkhidmatan Lecornu merupakan yang paling singkat bagi mana-mana Perdana Menteri dalam sejarah moden Perancis.
Langkah mengejutkan ini dipercayai berpunca daripada reaksi parti sayap kanan Republikan (LR) terhadap barisan kabinet Lecornu yang diumumkan lewat Ahad, yang menyebabkan parti itu menilai semula kedudukannya dalam kerajaan.
Pasaran saham Paris jatuh susulan pengumuman itu, dengan indeks utama CAC 40 susut lebih dua peratus sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan).
Buat masa ini belum jelas bagaimana Macron akan bertindak kerana beliau sebelum ini menolak desakan supaya membubarkan semula Parlimen bagi mengadakan pilihan raya mengejut dan juga menegaskan tidak akan meletak jawatan sebelum tamat penggalnya pada 2027.-AFP











