bas terhad

Hanya 20 bas henti-henti rentas Malaysia-Singapura

Hanya 20 buah bas henti-henti bagi perjalanan Johor Bahru-Singapura akan disediakan sempena pembukaan semula sempadan antarabangsa kedua-dua negara itu bermula Jumaat ini. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI pemberita: Raja Jaafar Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hanya 20 buah bas henti-henti bagi perjalanan Johor Bahru-Singapura akan disediakan sempena pembukaan semula sempadan antarabangsa kedua-dua negara itu bermula Jumaat ini.

Pengurus Handal Indah Sdn. Bhd., Mahathir Anuar berkata, hal itu kerana hanya bilangan bas tersebut yang masih memiliki permit melalui inisiatif Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat sedia ada sebelum ini.

Katanya, perkhidmatan berkenaan bagaimanapun hanya melibatkan Tambak Johor sahaja dan bukannya LinKedua.

“Sebelum sempadan ini ditutup akibat pandemik Covid-19 kira-kira dua tahun lalu, kami menyediakan 100 buah bas henti-henti setiap hari melibatkan kedua-dua laluan iaitu Tambak Johor dan LinKedua.

“Namun, untuk pembukaan semula sempadan Jumaat ini, hanya 20 buah bas akan disediakan kerana memiliki permit. 

“Dalam masa sama kami akan buat permohonan baharu kepada Land Transport Authority (LTA) Singapura bagi memperbaharui permit Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang telah tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura yang merupakan sempadan darat antarabangsa tersibuk di dunia itu ditutup bermula 18 Mac 2020 akibat penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Pada 24 Mac lalu, Malaysia dan Singapura bersetuju membuka sempadan darat kedua-dua negara berkenaan khususnya bagi pengembara yang lengkap vaksinasi sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik Covid-19.

Dalam kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, kedua-dua pemimpin itu memutuskan bermula 1 April ini, Malaysia dan Singapura akan membenarkan semua pengembara merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, Malaysia akan membuka sempadan kepada pengembara antarabangsa bermula tarikh yang sama, dan seterusnya melakar satu lagi kejayaan penting dalam memudah cara  perjalanan rentas sempadan dengan jiran terdekat, Singapura.

“Pengumuman ini mencerminkan hubungan baik, kerjasama pelbagai aspek dan hubungan kukuh antara rakyat kedua-dua negara. Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha pemulihan dengan impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” jelasnya.

Malah, Hsien Loong turut menyifatkan, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan yang mendalam, mesra dalam pelbagai aspek, serta hubungan antara rakyat yang kukuh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN