PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia digesa mencadangkan kepada majikan untuk menggunakan perkhidmatan agensi pengambilan pekerja asing berdaftar di negara ini sebagai orang tengah bagi memudahkan kemasukan tenaga kerja, khususnya dari Bangladesh.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. Sukumaran Nair berkata, walaupun belum ada kelulusan untuk mana-mana permohonan, permintaan melebihi jangkaan daripada majikan-majikan yang memerlukan pekerja asing.
Katanya, perkara itu diakui sendiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bahawa terdapat lebih 200,000 permohonan diterima setakat ini hanya dari pekerja asing Bangladesh bagi semua sektor.
Bagaimanapun, kata beliau, Sistem FWCMS yang digunakan bagi tujuan permohonan itu terbukti mempunyai banyak masalah dan gangguan, justeru majikan sangat sukar memenuhi keperluan yang ditetapkan dalam sistem platform digital tersebut.
“Permohonan adalah sangat ketat dan proses kelayakan untuk kelulusan, memerlukan banyak dokumentasi dan kriteria yang perlu dipenuhi.
“PAPSMA menggesa permohonan melalui sistem itu diperhalusi semula bagi memudahkan kemasukan dan kelulusan supaya tempoh masa pengambilan pekerja asing bagi memenuhi jurang kerja besar dapat dipendekkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PAPSMA yang mewakili majoriti agensi berlesen C berharap dapat diberi kuasa untuk menjadi fasilitator kepada majikan dalam pengambilan pekerja asing ke Malaysia.
Jelasnya, jika Kementerian Sumber Manusia sendiri tidak menyokong perkhidmatan agensi-agensi berdaftar ini, maka ramai ahli PAPSMA bakal menutup perniagaan mereka dan berisiko mengalami kerugian akibat tidak dapat berfungsi walaupun terletak di bawah kategori lesen diluluskan oleh kementerian itu.
Beliau berkata, kewujudkan ejen haram yang tidak bertanggungjawab dan menipu kebanyakan majikan dalam proses pengambilan pekerja asing diakui telah menjejaskan reputasi agensi yang sah dan berdaftar.
“Kami mempunyai kira-kira 1,100 agensi pekerja asing berdaftar dan berlesen setakat ini berbanding dengan lebih 10,000 ejen haram di negara ini.
“Jika kami tidak diberi mandat seperti yang diluluskan dalam lesen, kami mungkin menutup operasi dan menutup perniagaan. Kami ‘dilahirkan’ oleh Kementerian Sumber Manusia dan apabila kementerian tidak menyokong perkhidmatan kami, kami mengalami situasi yang sama dengan semua ejen haram lain dan tidak dibenarkan menjalankan perniagaan pengambilan pekerja asing di negara ini,” katanya. – UTUSAN