ISKANDAR PUTERI: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dicabar untuk menunjukkan kejantanan beliau dalam politik dengan menerima cabaran debat berhubung dakwaan dibuat terhadap MCA mengenai isu sekolah pendidikan Cina.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya sudah menyewa dewan di Bangunan Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru untuk debat berkenaan dengan harga RM4,500, bagaimanapun masih belum menerima maklum balas Guan Eng.
“Terpulang kepada Guan Eng, dia membuat tuduhan mengatakan MCA tidak membantu dalam urusan pendidikan sekolah Cina, namun apabila dicabar berdebat, dia mendiamkan diri.
“Kerana itu saya cabar dia berdebat, jika dia gagal buktikan tuduhan berkenaan adakah dia sedia untuk mengundurkan diri (daripada politik), saya cabar dia tunjukkan sikap sebagai anak jantan dan terima cabaran ini.
“Dia nak bawa pembantu, seperti Teo Nie Ching (Timbalan Pengerusi DAP Johor) atau sesiapa sahaja itu tiada masalah, tetapi dia sebagai orang nombor satu DAP dan yang membuat tuduhan, perlu datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheah Fah di Sunway City, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr. Mah Hang Soon.
Tambah Ka Siong, debat berkenaan tidak perlu terlalu lama, tetapi cukup hanya sekitar 20 minit.
“Saya serius, saya mahu ajar dia kali ini dan saya mahu telanjangkan dia kerana dia terlalu celupar, kerana itu saya mengumpan dia keluar, tidak perlu lama cukup 20 minit dan tanpa sebarang kertas.
“Saya berani buat begini kerana saya tahu apa yang berlaku, apa yang telah dilakukan MCA untuk pendidikan sekolah Cina di negara ini,” jelasnya.
Sementara itu, Ka Siong turut menafikan dakwaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mendakwa MCA mengganggu kempen DAP di Yong Peng pada 26 Februari lalu sehingga menyebabkan mereka melebihi peraturan ceramah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurut beliau, program yang dihadirinya itu atas jemputan pertubuhan bukan kerajaan selaku wakil rakyat dan bukan program MCA. – UTUSAN