‘Gamer’ guna duit pencen ibu, kerugian RM42,500

‘Gamer’ guna duit pencen ibu, kerugian RM42,500

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pelajar universiti yang merupakan ‘kaki game’ dari Kampung Pandan 2, di sini, kerugian RM42,500 gara-gara terlalu obses dengan permainan video secara dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pelajar di sebuah universiti awan yang berusia 22 tahun itu kerugian selepas diperdaya dalam pembelian mata wang permainan video berkenaan.

“Kejadian berlaku pada Jumaat lalu apabila mangsa melihat satu hantaran di media sosial Instagram bernama ajgamingstoree yang menjual mata wang permainan video secara dalam talian.

“Mangsa berminat untuk membeli kerana  pihak terbabit menawarkan harga yang  murah berbanding di Shopee,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Wazir berkata, mangsa berminat untuk membeli sebanyak 38,400 mata wang permainan video berkenaan dengan harga RM600.

Katanya, mangsa telah membuat pembayaran melalui internet ke satu akaun yang diberikan suspek.

“Selepas mangsa membuat pembayaran, suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan lain untuk pelbagai caj penukaran mata wang berkenaan.

“Mangsa telah terpedaya dengan helah suspek sehingga membuat 10 kali transaksi pembayaran berjumlah RM42,500 ke tiga akaun berbeza yang diberikan suspek.

“Bagaimanapun dalam kes tersebut, wang milik mangsa hanya berjumlah RM1,705 sahaja, bakinya RM40,795 merupakan wang simpanan ibu mangsa yang merupakan seorang pesara kerajaan sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, katanya, akibat terasa ditipu mangsa segera membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis daerah Kuantan.

“Terdahulu, mangsa yang mempunyai akses akaun bank milik ibunya ada memaklumkan perkara demikian tentang kehilangan wang simpanan itu sebelum membuat laporan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan akibat menipu,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya