PETALING JAYA: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) merayu kepada kerajaan agar mempertimbangkan semula keputusan untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 bermula Mei ini.
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pihaknya sebaliknya mahu mengambil pendekatan kenaikan progresif seperti yang dicadangkan.
“Kami berpendapat bahawa kenaikan kadar gaji secara beransur-ansur masih dapat menangani kenaikan kos sara hidup disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan gangguan bekalan yang berlaku.
“Justeru majikan akan terus merancang untuk menaikkan gaji pada 2022 dan ia akan dapat menangani tekanan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara.
Dalam pada itu, Thian La berkata, FMM yakin dengan kawalan diperlukan terhadap kenaikan kos oleh kerajaan serta usaha bersepadu oleh industri untuk membiayai kenaikan kos secara dalaman, majikan boleh terus mengekalkan pekerjaan dan pelarasan gaji.
Katanya, kenaikan daripada kadar gaji minimum semasa RM1,200 kepada RM1,500 mewakili kenaikan serta-merta sebanyak 25 peratus ke atas gaji pokok akan memberi kesan ke atas kos gaji keseluruhan dan kepada perniagaan dan pemulihan ekonomi.
“Sehubungan itu, FMM telah memberi cadangan kepada kerajaan supaya pelarasan gaji minimum dilaksanakan secara berperingkat dengan kenaikan RM100 pada suku ketiga tahun 2022 dan pelarasan seterusnya pada tahun 2023/2024, kenaikan kepada RM1,500,” katanya.
Berdasarkan penemuan Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM-Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia baru-baru ini separuh kedua 2021 yang dijalankan dari 5 Januari-10 Februari 2022, majoriti responden kajian itu berpendapat kenaikan RM100 dalam gaji minimum adalah kadar yang boleh diterima berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa. – UTUSAN










