PETALING JAYA: Keyakinan Parti Warisan (Warisan) yang menjangka akan menang semua atau sebahagian enam kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan melihat sentimen sokongan masyarakat Cina menolak DAP amat meragukan.
Bukan sahaja gagal meraih undi Cina, Warisan dijangka akan membuat ‘sumbangan kepada Baitulmal’ sebanyak puluhan ribu ringgit menyaksikan kesemua calonnya hilang deposit selepas keputusan mengundi 12 Mac ini diumumkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Wong Chin Huat berkata, parti itu sepatutnya sedar yang parti itu masih baharu bertapak di Johor dan terpaksa bersaing dengan parti-parti politik lebih dominan di Semenanjung.
“Saya jangka Warisan akan membuat ‘sumbangan’ kepada Baitulmal sebanyak RM30,000 atau wang deposit untuk enam calonnya apabila keputusan dikemukakan pada hujung minggu ini.
“Parti dari Sabah ini tiada rekod atau visi jelas untuk Johor, pimpinan dan calonnya kebanyakannya orang lama daripada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN). Jadi, apakah kelebihannya selain daripada kedudukannya sebagai parti majmuk?” soalnya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, akhbar ini melaporkan, Pengerusi Warisan Johor, Suhaimi Salleh berkata, angin perubahan kaum Cina dijangka berlaku pada pilihan raya negeri berdasarkan kecenderungan mereka menyokong parti itu dan sentimen masyarakat Tionghua menolak DAP dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
Warisan dikepalai Presiden Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bertanding enam kerusi di DUN Pekan Nanas, Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Bukit Batu dan Permas.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Lee Kuok Tiung pula berkata, ada pun sokongan orang Cina pada Warisan hanyalah disebabkan sebahagian pemimpinnya di Semenanjung merupakan bekas ahli DAP berbangsa Cina.
Justeru, katanya, ia bukanlah faktor ‘semula jadi’ pengundi Cina beralih sokongan daripada Warisan sekali gus mendorong DAP menyelar tindakan parti itu bertanding di Johor.
“Begitu juga sewaktu ia ditubuhkan di Sabah pun, mereka ambil pendekatan sama misalnya memancing Naib Presiden Warisan, Datuk Darell Leking dahulu ahli PKR dan Datuk Junz Wong dari DAP. Saya ragu parti ini akan membuat kejutan, undi Cina akan terbahagi kepada DAP dan MCA sahaja manakala Gerakan tidak akan dapat undi Cina,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik University of Tasmania, Prof. James Chin berkata, di sebaliknya keyakinan Warisan menang kerusi DUN, hakikatnya, masih ramai keliru dan tidak mengenali parti berkenaan.
“Apa yang Warisan katakan itu benar, ‘mood’ komuniti Cina berubah kerana marah dengan PH-DAP, tetapi undi tidak akan pergi ke parti itu. Mereka baru sahaja mengibarkan bendera di Semenajung dan Johor, mereka akan pecahkan undi. Saya jangka, ada kemungkinan besar parti ini akan hilang semua wang deposit,” katanya. – UTUSAN