SABAK BERNAM: Kegiatan haram empat tekong dan awak-awak yang aktif menyeludup migran sejak beberapa bulan lalu tumpas apabila digempur pihak berkuasa di persisiran Pantai Sungai Besar di sini, hari ini.
Kesemua suspek warga Indonesia berusia 20 hingga 30-an itu dicekup ketika membawa 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) menaiki sebuah bot nelayan, kira-kira pukul 1 pagi tadi.
Penahanan itu dilakukan Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi Op Pintas di perairan berkenaan.
Ketua Penolong Pengarahnya, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, operasi khas itu dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.
Kata beliau, pihaknya menerusi maklumat dan risikan mengesan sebuah bot nelayan kelas B yang disyaki membawa migran, kira-kira 1.7 batu nautika dari persisiran pantai tersebut.
“Pasukan kita menerusi aset bot ronda kemudian menahan bot itu yang dikendalikan seorang tekong laut dan tiga pembantunya.
“Selain itu, seramai 60 warga Indonesia terdiri daripada 49 lelaki dan 11 wanita ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Fadil, pemeriksaan mendapati semua warga asing itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
“Mereka dipercayai baru masuk ke Malaysia menerusi laluan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.
Tambah beliau, siasatan mendapati kesemua PATI itu membayar antara lima hingga enam juta rupiah (RM1500 hingga RM1800) kepada ejen di Indonesia untuk memasuki negara ini.
“Tekong dan pembantunya yang dipercayai aktif menguruskan migran keluar dan masuk Malaysia sejak beberapa bulan lalu.
“Kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat IPD Sabak Bernam untuk tindakan lanjut,” katanya. –UTUSAN










