PETALING JAYA: Syarikat DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd (Deftech) mempamerkan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) pertama buatan Malaysia dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Deftech, Fazley Ariffin berkata, pembangunan UAV taktikal pertama negara ini secara tidak langsung berjaya mengorak langkah industri pertahanan negara dan merupakan satu pencapaian membanggakan untuk industri tempatan.
“Pembinaan UAV ini dapat melipat gandakan keupayaan pasukan pertahanan dan keselamatan.
“Ia menyediakan platform yang selamat dalam mengendalikan apa jua situasi atau persekitaran yang bahaya dan mencabar,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Pesawat itu dirasmikan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Asghar Khan Goriman Khan ketika membuat lawatan di pameran Deftech.
Dalam pada itu, Fazley berkata, pesawat buatan Deftech ini mampu melaksanakan operasi dalam kawasan yang sukar selain berupaya diatur gerak pada waktu siang dan malam.
“Ia direka bentuk mempunyai berat maksimum 120 kilogram (kg) untuk berlepas, ketahanan selama 10 jam dengan jarak 100 kilometer dan boleh menampung kapasiti muatan seberat 15 kg,” ujarnya.
Tambahnya, pembangunan UAV ini adalah hasil daripada pengalaman dan kerjasama dengan pasukan pertahanan serta keselamatan yang mengendalikan dron untuk operasi yang berbeza.
“Penggunaan UAV oleh pihak tentera dan keselamatan awam pasti akan menjadi aset untuk keselamatan negara Malaysia, terutamanya untuk situasi kritikal dan sensitif masa,” ujarnya.- UTUSAN











